Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Sunday, December 5, 2010

Bahagian 16

FAKRUL hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila isterinya itu tidak henti-henti bersin.  Itulah padahnya apabila tidur di lantai tanpa sebarang alas.  Dia sudah amat maklum akan tahap kesihatan isteri yang baru dinikahinya itu.  Alah kepada habuk dan alah kepada sejuk.  Pantang sejuk sedikit, hidung Ezani pasti akan kemerahan akibat bersin yang terlampau.  Dan kemungkinan untuk demam juga tinggi.
            Terasa bagai ringan sahaja mulutnya itu untuk membebel.  Namun memandang wajah lesu gadis itu menyebabkan niatnya itu terhenti.  Tambahan pula hatinya bimbang seandainya wajah murung Ezani kembali.  Sungguh.  Itulah yang paling ditakutinya.  Hatinya tidak tenteram sekiranya wajah gadis itu murung.  Perasaan itu hadir bukanlah baru hadir tetapi ianya hadir semenjak awal perkenalan mereka lagi.  Mungkin gadis itu tidak pernah menyedarinya kerana dia sering menutup hakikat perasaannya itu dengan pelbagai cara.  Namun itulah hakikatnya dan ianya tidak mampu untuk disangkal.  Setelah bersiap ala kadar, mereka sama-sama keluar dari bilik.

“WAH, awal pengantin kita bangun.  Tidur tak nyenyak ke malam tadi?” kehadiran mereka di ruangan dapur disambut oleh suara usikan.  Fakrul dan Ezani hanya mengebaskan muka.  Mereka sedar, itulah nasib pengantin baru.  Telinga perlu ditebalkan untuk menahan usikan yang bertalu-talu datang.  Masing-masing mereka hanya tersengih.  Apa yang berlaku malam tadi biarlah hanya mereka yang tahu.
            “Eh, kenapa lesu saja muka kamu ni Ezani?  Ayul kacau kamukah?” soalan itu telah menggamit ketawa mereka yang berada di dapur itu. 
            Ezani berpaling ke arah Fakrul.  Berharap agar lelaki itu menjawab sesuatu.  Dia sedar selagi mereka tidak memberikan tindak balas, selagi itulah mereka akan terus diusik.  Bimbang nanti ada pula yang keterlaluan.  Dia masih ingat akan kejadian amuk yang berlaku beberapa tahun yang lepas.  Semuanya gara-gara sikap masyarakat yang terlalu suka mengusik pengantin baru yang kadang-kalanya melampaui batas serta mampu mengaibkan si pengantin.  Dan akhirnya mengundang parah.
            Melihat akan renungan Ezani itu, Fakrul faham bahawa isterinya itu minta untuk ‘diselamatkan’.  Fakrul hanya tersenyum di dalam hati.  Seronok juga melihat wajah Ezani yang sedikit kemerahan akibat menahan malu.  Namun, untuk membiarkan keadaan ini berterusan dia juga tidak sanggup.
            “Mana ada Ayul kacau Hanna.  Kan sayang?” tegas Fakrul.  Dalam masa yang sama matanya melirik ke wajah isterinya.  Keningnya pula diangkat sedikit beberapa kali memberi petanda bahawa dia memerlukan sokongan.
            “Betul tu...” tetapi belum sempat Ezani menamatkan kata-katanya, dia kembali bersin.  Bukan sekali malah berkali-kali sehingga anak-anak kecil yang berada di situ tertawa melihatnya.
            Pantas Fakrul mencapai kotak tisu yang berada tidak jauh daripadanya dan memberikannya kepada Ezani.  Tanpa sepatah kata Ezani terus mengambil kotak tisu itu dan terus bersin.  Fakrul menggelengkan kepala buat sekian kalinya.  Namun terselit jua kuntuman senyum di bibirnya tatkala melihat wajah Ezani dengan hidung yang merah yang kelihatan sangat comel di matanya.
            “Kamu demam ke Ezani?” tanya Mak Cik Leha yang kebetulan baru memasuki ruangan dapur.  Pantas tangannya diletakkan ke dahi Ezani.  Bimbang menantunya itu tidak sihat.  Mak Cik Leha memandang Fakrul untuk mendapatkan jawapan.
            “Agaknyalah mak...” Fakrul menjawab ringkas.
            “Apa yang kau buat pada Ezani sampai demam dibuatnya dia?” sampuk Nek Piah, adik kepada Tok Hassan, datuknya.
            Mendengarkan soalan itu, Ezani pantas tertunduk malu.  Faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Nek Piah itu.
            “Eh, ke situ pula Nek Piah ni.  Ayul mana ada buat apa-apa pun pada Hanna,” pantas Fakrul membela diri.
            Terdengar ada suara-suara yang ketawa.  Tidak kurang juga ada yang berbisik-bisik sambil tersenyum simpul.  Mungkin ada di antara mereka di situ yang terimbau kembali nasib mereka sewaktu bergelar pengantin baru suatu ketika dahulu.
            “Kalau kau tak ada buat apa-apa tak mungkin Ezani ni tiba-tiba sahaja demam.  Semalam nek tengok Ezani ni sihat,” tingkah Nek Piah lagi. 
            “Tak apalah.  Ayul dengan Ezani pergi sarapan dulu.  Lepas sarapan Ayul bawa Ezani ke klinik.  Mungkin kesan luka hari tu agaknya.  Suruh doktor tu periksa sekali luka Ezani ni,” sampuk Mak Cik Leha pula.  Tidak sampai hati pula dia melihat anak dan menatunya itu terus-terusan diusik begitu.
            “Baiklah mak...”
            “Dah, pergi makan sekarang.  Jangan lupa ubat Ezani, mak ada letak atas peti sejuk tu.”  Pesan Mak Cik Leha lagi.  Fakrul hanya mengangguk.
            “Jom sayang!”
            Ezani menolak lembut Fakrul yang cuba untuk memapah dirinya.  Dia mampu berjalan sendiri.  Tambahan pula dia segan dengan pasang-pasang mata yang tidak lekang dari melihat setiap aksi mereka berdua.
            “Hanna, jangan degil!  Jom abang tolong,” malas untuk menimbulkan kecoh di hadapan ramai akhirnya Ezani akur pada suaminya.  Melihat pada keakuran Ezani dan sikap ambil berat Fakrul, mereka yang tahu akan kisah beberapa hari yang lepas sama-sama menarik nafas lega.  Masing-masing mendoakan supaya pasangan ini akan melupakan segala yang telah terjadi dan terus berbahagia hingga ke akhirnya.
            Di satu sudut, Mak Cik Limah menyapu lembut air mata syukurnya.  Syukur kerana akhirnya Fakrul sudah dapat menerima Ezani sebagai isterinya.  Dalam linangan air mata, bibir Mak Cik Limah menguntum senyum.  Mendengar bagaimana Fakrul memanggil Ezani sudah cukup untuk membuatkan hati tuanya berbunga.  
            “Semoga berbahagia, nak.  Mak mendoakan agar kalian terus rukun dan damai selamanya.”  Ucap Mak Cik Limah dari kejauhan.