Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Wednesday, July 21, 2010

Bahagian 1


SETITIS air mata jatuh tatkala Ezani mencium tangan Fakrul di hari pernikahan mereka.  Ezani sendiri tidak mengerti sama ada mutiara yang gugur itu merupakan tanda kesyukuran atau sebaliknya.  Memang benar bahawa dirinya telah diijabkabulkan dengan seorang insan yang sangat dicintainya selama ini.  Namun, hakikat bahawa perkahwinan yang dilangsungkan tanpa rela ini telah mencantas rasa bahagia yang sepatutnya mereka rasai bersama.  Dia mengukir senyum pahit tatkala bibir lelaki yang kini telah sah menjadi suaminya mencecah lembut dahinya. Kerlipan cahaya kamera bagaikan berlumba-lumba untuk merakamkan detik bersejarah ini.  Tetapi jauh di sudut hati Ezani hampa kerana tidak ada sedikit pun rasa debaran bahagia bunga-bunga cinta seperti yang sering diangankannya selama ini.  Walaupun insan di hadapannya adalah sama dengan seraut wajah yang  kerap hadir bagi menghiasi tidur malamnya, namun kini segalanya terlalu asing bagi mereka. Situasi telah meletakkan keduanya dalam suasana yang nyata berbeza.  Tiada rasa debar.  Tiada rasa tidak sabar untuk melayari kehidupan bersama.  Hanya rasa hambar yang menguasi jiwa.
            Ezani bagaikan tersedar daripada lamunannya. Dapat dia merasakan dengan jelas bahang tubuh suaminya.  Kedudukan tubuh mereka berdua bagaikan terlalu hampir.  Pantas dia menoleh apabila menyedari pinggangnya dipaut lembut. Tersentap Ezani bila menyedari sepasang tangan yang sedang merangkul pinggangnya adalah milik Fakrul.  Lelaki yang baru sahaja selesai melafazkan akad pada dirinya.  Rupa-rupanya Fakrul sedang memenuhi permintaan sanak saudara yang hadir supaya mereka mempamerkan lagak mesra dan intim.  Maklumlah, pengantin baru katakan.  Pasti pada sangkaan mereka kedua mempelai ini masih malu-malu untuk mempamirkan aksi mesra.  Kebiasaan bagi pasangan yang baru diijabkabulkan.  Namun telahan mereka itu langsung tidak tepat sama sekali.  Mempelai di hadapan mereka kini bukanlah seperti pasangan-pasangan yang baru bernikah yang lain.  Dua insan di hadapan mereka ini merupakan dua insan yang melangkah ke gerbang perkahwinan tanpa jiwa dan rasa gembira.  Kaku dan penuh plastik.
            Merah pipi Ezani sebaik sahaja Fakrul mengucup lembut pipinya atas permintaan Saiful Bahari, sahabat baik Fakrul.  Wajah Ezani berubah merah apabila Saiful Bahari bagaikan sengaja meminta Fakrul untuk mengulangi aksi tersebut untuk beberapa kali.  Tidak sempat hendak mengabadikan kenangan katanya. Cepat sangat menjarakkan kedudukan.  Gelak tawa sanak saudara serta sahabat handai yang berada di dalam bilik pengantin gamat sekali.  Apatah lagi apabila mereka melihat telatah mempelai yang bagaikan tersipu malu.
            Sungguhpun begitu, hati Ezani bagai dijentik rasa aneh dan tidak percaya apabila melihat wajah ceria Fakrul yang berada di sisinya.  Sedangkan kurang empat puluh lapan jam yang lalu, wajah itu penuh dengan garis-garis duka yang cukup menggambarkan rasa hati yang kecewa apabila istana bahagia yang diidamkan punah sekelip mata.  Tatkala melihat wajah Fakrul, Ezani bagaikan dapat melihat betapa hancurnya hati itu. Mata lelaki itu bergenang duka, sarat dengan kepedihan yang ditanggung.  Sungguh parah luka itu hasil penangan cinta Nina yang telah pun beralih arah.  Fikiran Ezani terus melayang melewati episod awal sejarah persahabatan mereka.

“ZANI, lepas kita dapatkan pengesahan daripada pengetua, bolehlah kita hantar terus kertas kerja ni ke Pejabat HEP.  Lagi cepat kita hantar, lagi cepat kita dapat kelulusan.  Lagipun, projek ni melibatkan beberapa organisasi luar.  Pengesahan dan kelulusan daripada pihak KPT diperlukan.  Agak-agaknya berapa lama ya baru kita boleh dapat pengesahan dan kelulusan daripada pihak Pejabat HEP dan KPT?” tanya Fakrul sambil matanya khusyuk meneliti kertas kerja di tangannya.  Bimbang terdapat sebarang kecacatan pada kertas itu.  Kertas kerja itu merupakan kertas cadangan projek mega mereka pada tahun ini. 
            “Sudah-sudahlah tu Ayul.  Penatlah Zani tengok Ayul ni.  Dah berpuluh kali kita semak kertas kerja ni dan dah berbuih pun mulut Zani ni menjawab soalan yang sama dari Ayul.  Tempoh maksimum bagi mendapatkan pengesahan dan kelulusan daripada pihak Pejabat HEP dan KPT adalah tiga minggu.  Tiga minggu,” sengaja diulang tempoh masa itu.  Suaranya juga ditekankan sedikit sebagai memberi tanda bahawa dirinya sudah agak bosan menjawab soalan-soalan yang sama sejak satu jam yang lalu.
            “Agak-agak bajet yang...”
            “Ya Allah, Ayul!! Kan Zani dah cakap tadi.  Kita pun dah bincang beberapa kali fasal bajet dan tentatif program ni dengan Encik Farid.  Dan dia pun dah cakap sepatutnya kertas kerja ni tak akan ada masalah.  Jadi, apa lagi yang dirunsingkan ni?”  Ezani menggelengkan kepalanya beberapa kali.  Sungguh dia tidak mengerti mengapa ketuanya yang selama ini kelihatan sangat tenang dan berkaliber menjadi gelabah sebegini.  Biarpun KAMSEM merupakan projek mega sulung mereka namun ini bukanlah pengalaman pertama mereka dalam mengendalikan program.  Sudah berpuluh program besar dan kecil kolej dan universiti telah mereka kendalikan.  Sepatutnya ketuanya ini mampu berasa yakin dan tidak ragu-ragu.  Tambahan pula projek ini baru diperingkat perancangan.  Sekiranya terdapat sebarang kecacatan, penambahbaikan boleh dilakukan dengan mudah.
            Fakrul hanya tersengih memandang Ezani yang nampaknya sudah mula tayang muka masam.  Mujur sahaja mereka sekarang ini sedang berbincang di bawah sebuah pohon yang rendang.  Cuacanya pula agak redup dan angin sepoi-sepoi bahasa sentiasa menemani perbincangan mereka.  Jika tidak, Fakrul pasti setiausaha kesayangannya ini akan cepat naik berang.  Sekarang pun bagaikan sudah kelihatan kepulan asap halus dari atas kepala Ezani.  Fakrul sedikit tertawa apabila tidak semena-mena dia terbayangkan wajah Ezani bertukar menjadi sebuah cerek yang sedang menjerit bersama hembusan-hembusan wap panas yang galak menerobos keluar daripada corongnya.  Kemudian bayangan cerek telah diganti pula dengan wajah Kak Ros yang merah menyala ketika sedang memarahi adik-adiknya, Upin dan Ipin.
            “Hah, yang Ayul ketawa ni kenapa pulak?” sergah Ezani apabila melihat Fakrul yang tersengih dan ketawa sendirian.  Ezani menggaru kepala apabila rasa gatal bagaikan mencucuk-cucuk kulit kepalanya.  Namun, akibat tudung yang mengalas kepalanya telah membuatkan dirinya bagaikan tidak puas untuk menggaru.  Rasa gatal itu bagaikan tidak mahu hilang.  Lalu diambilnya sebatang pensel dan ditenyeh di kepalanya.
            “Tak ada... eh budak tu kenapa?” jawapan kepada persoalan Ezani tadi dibiarkan tergantung sebaik sahaja matanya tertancap pada seorang gadis yang sedang jalan terhencot-hencot.  Ezani pantas menoleh ke arah yang dimaksudkan oleh Fakrul.  Ezani cuba mengamati gadis tersebut dalam-dalam.
            “Nina...” terpacul sebaris nama itu sebaik sahaja dia dapat mengecam siapakah gadis malang itu.  Pantas dia menoleh ke arah Fakrul.
            “Jom kita tolong dia,” ajak Ezani.
            “Siapa dia?” tanya Fakrul pula.
            “Nina, budak blok Zani.  Bilik dia selang tiga bilik dari bilik Zani.  Jom la.  Cepat,” gesa Ezani.  Tanpa disedari tangannya telah mencapai tangan Fakrul untuk berlari bersama.  Mereka terus berlari sambil berpegangan tangan sehinggalah mereka tiba di hadapan Nina.
            “Nina, kau kenapa?” tanya Ezani sambil tercungap-cungap.  Entah mengapa terasa penat pula sedangkan jarak antara pondok dan Nina tidaklah begitu jauh.  Sepelaung pun tidak sampai.
“Err... aku,” Ezani berasa aneh apabila mata Nina seakan sedang merenung sesuatu.  Pantas matanya juga turut memandang ke arah yang sama.  Seketika kemudian barulah dia perasan bahawa tangannya dan Fakrul masih lagi berpaut.  Serta merta wajahnya berasa panas.  Pantas dia melepaskan tangan Fakrul lalu menundukkan wajah.  Malu.  Terasa berpijar wajahnya.
            “Eh... sorry,” merah muka Ezani tatkala menuturkan kata maaf itu.  Wajahnya pula tidak berani diangkat untuk bertentang dengan wajah Fakrul yang berada di sisinya.
            “It’s okey.  Kalau kau nak pegang lama-lama pun aku tak kisah,” balas Fakrul selamba.  Namun di hujung ayatnya terhias dengan ketawa kecil.  Nina pula hanya tersengih mendengar kata-kata Fakrul yang kedengaran begitu mesra.  Hilang prejudisnya terhadap Fakrul selama ini.
            Fakrul merupakan seorang pelajar yang sangat dikenali di seluruh universiti kerana keaktifannya melibatkan diri dalam program-program kolej dan universiti.  Selain itu dia juga merupakan salah seorang pemain bola tampar bagi pasukan universiti.  Pasukannya pula telah beberapa kali membawa pulang piala utama bagi setiap kejohanan yang disertai mereka.  Reputasi Fakrul yang cemerlang serta gaya hidup sosial yang agak terhad telah menyebabkan Fakrul dicop sebagai ‘Mamat Macho tetapi Hancho’ UTM.
            Namun, prejudis Nina hilang sebaik sahaja dia dapat melihat Fakrul dengan mata kepalanya sendiri.  Layanan mesra Fakrul terhadap Ezani juga telah menangkis tuduhan bahawa kononnya Fakrul sangat dingin dan sukar untuk didekati.
            “Cik adik ni pulak kenapa?  Jalannya terhencot-hencot.  Kasut yang patutnya berada di kaki tapi letaknya di tangan pula.  Kenapa ni?  Boleh saya tolong?” tanya Fakrul dengan gaya seakan-akan bangsawan. 
Semenjak itu mereka bertiga menjadi sahabat.  Dan, Ezani mula menyedari sesuatu yang berubah dalam dirinya apabila tiga bulan kemudian, hatinya bagai menangis kepiluan sebaik sahaja Fakrul dan Nina mengisytiharkan bahawa mereka kini telah bergelar pasangan kekasih.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?