Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Thursday, October 14, 2010

Bahagian 8

“Ayul, mak harap sangat Ayul jangan sia-siakan Zani tu nanti, ya nak,” pinta Mak Cik Limah pada anaknya, Fakrul.  Tinggi harapannya supaya perkahwinan anaknya itu berkekalan sungguhpun ianya berpunca daripada suatu kejadian yang tidak terduga.
“Mak, Ayul tak nak kahwin dengan Zani.  Ayul tak cintakan Zani.  Selama ini Ayul hanya anggap Zani macam adik Ayul aje.  Macam mana Ayul nak anggap dia isteri Ayul,” tingkah Fakrul pada kata-kata ibunya.  Terdengar keluhan berat yang dilepaskan.  Seolah-olah keluhan itu dapat membuang rasa tertekan yang semakin membukit di benaknya. 
“Mak... Tolonglah Ayul, mak!  Ayul tak rela dengan perkahwinan ni tapi Ayul sendiri dah buntu.  Ayul tak tahu apa lagi yang boleh Ayul lakukan sedangkan masa yang ada sudah terlalu suntuk.  Tolong Ayul, mak,” rayu Fakrul pada ibunya.
Menitis air mata Ezani sebaik sahaja mendengar pengakuan Fakrul itu.  Hatinya pedih.  Rasa terhiris.  Sungguhpun hakikat nan satu itu sudah lama dimakluminya tetapi apabila mendengar sendiri ucapan yang berbaur rayuan serta terselit esakan halus terus dari bibir lelaki itu benar-benar telah meluluhkan hatinya.  Ezani membiarkan air matanya mengalir lesu membasahi pipi mulusnya.  Esakannya dirasakan bagai semakin kuat.  Lalu, dia menekup mulutnya sekuat mungkin supaya esakannya itu tidak akan didengari oleh Fakrul dan Mak Cik Limah yang berada tidak jauh daripada tempat persembunyiannya.
Hati dan akalnya kini saling bertingkah sesama sendiri.  Akalnya menyarankan agar dia pergi meninggalkan tempat persembunyiannya itu agar luka di hatinya tidak menjadi semakin parah.  Namun hatinya menyangkal.  Hatinya berkata yang dia perlu terus mencuri dengar di situ supaya dirinya tahu hakikat sebenar yang bakal berlaku dalam hidupnya nanti.  Sungguhpun pahit tetapi ketidaksanggupan Fakrul untuk menerima dirinya sebagai isterinya adalah  suatu hakikat yang perlu disedarinya. 
Dia perlu tahu dan sedar supaya dirinya tidak terjebak dalam khayalan anganan cintanya yang masih lagi menjadi rahsia itu.  Dia perlu sedar bahawa pernikahan mereka esok bukanlah suatu tanda bahawa dia telah memiliki Fakrul.  Sebaliknya ianya hanyalah sekadar suatu simbolik yang tiada makna.  Ibarat paku yang tertanam di dinding yang belum tentu akan ada fungsinya.  Tetapi akan terus membekas walaupun ia telah dicabut dan dibuang.
“Ayul, dengar sini.  Mak harap sangat Ayul dapat menerima Zani dengan seikhlas hati.  Zani itu baik budaknya.  Ayul sendiri dah berkawan lama dengan Zani.  Masakan Ayul tidak tahu baik buruk lakunya.  Mak pohon pada Ayul, terimalah segala ketentuan ini dengan rela hati.  Jangan aibkan mak, sayang.”  Esak tangis Mak Cik Limah telah menyedarkan Ezani daripada lamunannya.  Hatinya semakin pedih apabila mendengar Mak Cik Limah merayu kepada Fakrul supaya menerima dirinya.  Air mata yang semakin galak mengalir itu disapunya perlahan.  Lengan baju kurung yang dipakainya sudah pun basah dengan air mata.  Air mata duka yang tiada nilainya.
“Ayul tahu Zani tu baik, mak.  Tetapi bukan itu yang menjadi persoalannya.  Persoalannya di sini adalah cinta.  Ayul tak cintakan dia, mak.  Ayul cintakan Nina.  Cintakan Nina!!”  Pang! Satu tamparan hinggap tepat ke muka Fakrul.  Mak Cik Limah menggenggam tangannya yang baru sahaja singgah di pipi Fakrul tadi.  Renungan sayunya dibiarkan lepas.  Menjamah wajah tertekan anak bongsunya itu. 
Mak Cik Limah tahu derita hati anaknya itu.  Begitu juga dengan Ezani.  Namun, apalah dayanya.  Ibu tua ini tidak berdaya untuk melakukan sesuatu demi memenuhi kehendak anaknya itu.  Cuma doanya, semoga kisah sedih ini akan pergi tidak lama lagi.  Awan mendung yang memayungi hidup mereka kini akan berarak pergi sebaik sahaja mentari pagi kembali bersinar sambil membawa harapan baru bagi kedua pasangan yang bakal bernikah esok ini.
Tanpa Fakrul sedari, dia telah meninggikan suara terhadap ibunya.  Fakrul terkedu sendiri.  Hatinya sebak.  Dirinya rasa tertekan.  Otaknya buntu.  Lalu, perlahan air mata jantannya mengalir lesu ke pipi buat sekian kalinya.
Ezani menggigit bibirnya.  Menahan esakan tangisnya bergema dari celahan bibirnya.  Jeritan Fakrul tadi bagaikan terpasung dalam jiwanya.  Berulang kali jeritan itu bergema di kepalanya.  Dan rasa seperti terdengar-dengar lagi di cuping telinganya.
“Ayul tak cintakan dia, mak.  Ayul cintakan Nina.  Cintakan Nina!!”
Akan diingatinya jeritan Fakrul itu sampai bila-bila.  Itulah status dirinya pada Fakrul buat selama-lamanya.  Ezani sedar, dirinya ibarat petualang dalam hidup Fakrul.  Maka, mulai saat itu dia telah berazam supaya tidak akan melupakan hakikat dirinya itu.  Malah mulai detik itu dirinya telahpun bersedia untuk ditalakkan oleh Fakrul dalam masa terdekat ini.  Dirinya yakin bahawa Fakrul akan menceraikannya tidak berapa lama setelah pernikahan mereka esok.  Malah mungkin juga sudah tidak sabar-sabar untuk melafazkan kata keramat yang bakal menamatkan perhubungan suci antara mereka nanti.  Tiada beban untuk apa batu digalas.  Peribahasa itu kena tepat pada batang hidungnya.  Secara diam-diam, Ezani mengakuinya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?