Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Wednesday, November 10, 2010

Bahagian 14

MALAM itu merupakan malam perkahwinan mereka.  Seandainya mereka adalah seperti pasangan bercinta yang lain, sudah tentu itulah detik yang paling dinantikan.  Malam penyatuan antara mereka.  Sudah tentu malam itu dinanti dengan penuh debaran.  Lain pula yang dirasai oleh Ezani.  Hanay kerunsingan yang menemani dirinya.
            Sebelum ini mereka terlalu sibuk melayan hati dan perasaan sendiri hingga tidak sempat untuk berbincang mengenai masa hadapan.  Ezani sedar.  Kini segala keputusan mutlak adalah terletak di tangan Fakrul.  Dirinya hanya mampu memberikan pendapat.  Sudah cukup baik padanya sekiranya mereka berpisah secara baik tanpa bermasam muka.  Dirinya sudah cukup bersyukur. 
            Berkaitan persahabatan mereka itu mungkin tidak akan seperti dahulu lagi.  Amat sukar bagi dirinya untuk melenyapkan hakikat  bahawa mereka berdua pernah mengikat perhubungan sebagai suami isteri walaupun untuk seketika setelah mereka berpisah nanti.  Sungguhpun hanyalah untuk seketika namun kesannya pasti terasa.  Oleh itu Ezani bertekad untuk menetap di luar negara setelah Fakrul melepaskannya nanti.  Hatinya benar-benar yakin Fakrul tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskannya.  Malah, mungkin sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menceraikannya.
            Jarum jam menunjukkan pukul 10.30 malam ketika Fakrul menjejakkan kaki di dalam bilik.  Ezani yang sedang termenung di beranda langsung tidak menyedari akan kehadiran Fakrul.  Perlahan-lahan Fakrul mendekati isterinya.  Direnungnya lembut wajah yang redup yang kelihatan begitu indah disirami cahaya bulan purnama pada malam itu.
            Amboi! Khusyuknya dia.  Langsung tak sedar aku datang, getus hati Fakrul.  Tiba-tiba timbul niat nakal di hatinya.  Tupp!! Fakrul mencucuk pinggang isterinya. 
            “Oh mak kau!!” jerit Ezani.
            “Astaghfirullahalazim, Ayul!!” hanya itu yang mampu diperkatakan oleh Ezani.  Dadanya yang masih berdebar akibat terkejut diusap perlahan.
            Fakrul ketawa terbahak-bahak.  Suka benar dia.  Ezani hanya memandang suaminya yang sedang gelak ketawa.  Pelik melihatkan Fakrul yang kelihatan begitu ceria semenjak tadi.  Bukankah dia tidak rela dengan perkahwinan ini?  Kenapa gembira pula?
            “Hanna,” seru Fakrul.
            Tercengang Ezani apabila Fakrul memanggilnya begitu.  Tidak pernah Fakrul memanggilknya dengan menggunakan nama itu selama ini.  Panggilan Hanna hanya digunakan oleh arwah ibu bapanya dahulu.  Sungguh istimewa panggilan itu buat dirinya.
            “Hanna, abang panggil ni,” tegur Fakrul apabial tiada respon dari Ezani.  Gadis itu hanya merenung dalam wajahnya.
            “Oit!!” Fakrul mencuit bahu isterinya.
            “Hah! Apa... Kenapa?” jawab Ezani spontan.  Bagai orang yang baru dikejutkan dari tidur lagaknya.
            “Tak ada apa-apa.  Abang nak tanya, kenapa Hanna pakai tudung dalam bilik malam-malam ni?  Selalu memang macam ni eh bila kat rumah?” Entahkan betul bertanya ataupun Fakrul cuba menyindirnya Ezani sendiri tidak tahu.
            “Zani... err... Hanna,” Ezani tidak tahu untuk membahasakan dirinya.  Janggal pula rasanya bila hendak membahasakan dirinya Hanna.  Lama sudah nama itu tidak disebutnya.  Abang?  Lagilah janggal untuk membahasakan suaminya itu dengan panggilan abang.  Alamak!  Macam mana ni?
            “Asal gagap-gagap ni?  Selalu bukan main banyak mulut.  Takkan malam ni dah jadi gagap?  Takkan takut kot?  Macam tak biasa dengan abang,” selamba sahaja Fakrul menuturkan kata-kata tersebut.  Fakrul tahu gementar yang bersarang di hati isterinya itu kerana hatinya itu juga turut gementar.  Tetapi semua itu tidak perlu ditonjolkan buat pengetahuan isterinya itu.
            Ezani hanya menarik nafas dalam tatkala mendengar kata-kata selamba yang terbit dari bibir Fakrul.  Liurnya pula ditelan seketul-seketul.  Dia cuba mencari kekuatan untuk terus berbicara.  Mereka perlu berbincang.  Mengenai mereka.  Mengenai masa depan.  Adakah masa depan buat mereka?  Mungkin tidak, fikir Ezani.
            “Ayul, kita perlu berbincang.”  Ezani cuba menguatkan hatinya.
            “Bukan Ayul lah sayang.  Abang...” Fakrul membetulkan panggilan Ezani.  Dia mahu Ezani memanggilnya dengan panggilan yang lebih mesra.  Panggilan yang selayaknya digunakan oleh seorang isteri terhadap suaminya.  Supaya mereka sedar bahawa sudah ada ikatan antara mereka.
            Kelat muka Ezani tatkala mendengar teguran Fakrul itu.  Makin kelat mukanya apabila melihat sengihan nakal lelaki itu.  Hatinya geram.  Terasa bagai diperolokkan.  Hatinya mengingatkan bahawa mereka perlu berbincang tetapi lidahnya kelu.  Lalu bagaimana?
            Demi melihatkan Ezani yang terus berdiam diri.  Fakrul kembali bersuara.  Dia tidak mahu malam ini berlalu begitu sahaja.  Seharusnya malam ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.  Tidak kisahlah dengan apa cara sekalipun.  Hatinya tersenyum nakal.
            “Sayang, kenapa diam saja ni?  Tadi cakap ada benda nak bincang,” Fakrul cuba memancing kata dari Ezani.  Moga-moga isterinya itu tidak terus membisu kata.
            Ezani hanya merenung lembut wajah suaminya itu.  Banyak yang hendak diluahkannya namun segalanya bagai terlekat dikerongkongnya.  Alangkah mudahnya jika suaminya itu dapat memahami segala yang terbelit dalam hatinya dengan hanya membaca renungan matanya.  Ezani mengeluh perlahan.
            “Kenapa ni?  Apa yang Hanna nak bincangkan dengan abang?  Tapi sebelum tu abang nak ingatkan yang kita sekarang ni sudah sah menjadi suami isteri.  Apa perlunya bertudung kepala depan abang?  Dah tak salah pun.  Tak berdosa.  Hanna memang hak abang.  Kalau Hanna tak pakai apa-apa pun Allah tak marah.  Abang suka, Hanna pun dapat pahala tau,”  Fakrul mengekeh mengenangkan kata-katanya sendiri.  “Mari sini abang tolong Hanna bukakan tudung.”
            Ezani memalingkan wajah.  Tidak rela mendengar lenggok gurauan Fakrul itu.  Ezani sedar dan faham maksud Fakrul itu tetapi hatinya runsing dan keliru.  Apakah maksud semua ini?  Bukankah semalam dengan jelas Fakrul melaungkan bahawa tiada ruang untuknya di hati lelaki itu?  Kenapa malam ini semuanya berubah?  Ezani runsing menghadapi situasi yang langsung tidak terlintas dibenaknya.  Tidak tahu bagaimana dia perlu beriaksi.  Untuk berlagak mesra hatinya janggal.  Perkahwinan ini bukan kehendak mereka.  Ezani buntu.  Hati Ezani geram.  Dia terasa seperti dipermainkan.  Mungkin Fakrul hanya ingin menduga dirinya.  Mungkin nanti Fakrul akan mentertawakan dirinya kerana perasan bahawa dirinya itu menjadi keinginan Fakrul.  Adakah Fakrul berdendam sebab dia bersetuju dengan perkahwinan ini tanpa sebarang kata putus dari dia?  Pelbagai andaian telah mula menguasai hati dan fikirannya.
            “Hanna...” panggil Fakrul lembut.  Tangannya juga perlahan melepaskan ikatan tudung Ezani.
        “Tapi...”  Ezani tidak jadi meneruskan bantahannya tatkala memandang wajah Fakrul yang serius merenung dirinya.  Ezani sedar bahawa kata-kata Fakrul tadi semuanya benar belaka.  Namun lupakah Fakrul pada hakikat perkahwinan mereka?
            Terkesima Fakrul melihat Ezani tanpa bertudung.  Walaupun ini bukanlah kali pertama dia melihatnya tetapi melihat Ezani dalam keadaan begini benar-benar menggoncang hatinya.  Oh isteriku!  Desis hatinya.  Tanpa dapat ditahan, tangan kasarnya terus mengelus lembut mahkkota indah isterinya itu.  Ezani hanya kaku.
            Beberapa minit berlalu dan mereka terus berkeadaan begitu.  Tiba-tiba Fakrul bersuara sambil menarik lembut tangan Ezani menuju ke tempat peraduan mereka.  “Sayang, jom!”
            Ezani kaget.  “Ke mana?”
“Lah, tadi sayang cakap nak ajak abang berbincang.  Takkan kita nak bincang sambil berdiri macam ni.  Jomlah kita duduk.   Tak lenguh ke kaki nak berdiri lama-lama? Atau, Hanna ada terfikirkan benda lain tadi?”  sengaja Fakrul mengusik isterinya itu.  Dan ketawanya terus meledak tatkala wajah putih kuning isterinya itu berubah merah. 
“Alahai, malu pulak dia”
“Ayul!” bentak Ezani.  Hatinya geram apabila terus-terusan dia dipermainkan oleh Fakrul.
“Bukan Ayul.  Abang.  A.B.A.N.G.  Abang.  Cuba sayang ikut apa yang abang cakap tadi.”  Tanpa jemu Fakrul terus membetulkan kata isterinya.  Berat sungguh lidah isterinya itu untuk memanggilnya abang.
“Ayul, boleh tak kalau kita bercakap macam biasa.  Jangan main-main macam ni!”  Ezani sudah mulai berang dengan kerenah Fakrul.  Keadaannya yang tidak bertudung juga menyumbang ke arah rasa kurang selesa di hatinya.
“Bila masa pulak abang main-main?  Salahkah abang bahasakan diri abang, abang?  Abangkan suami Hanna,” balas Fakrul dalam nada tidak puas hati.
“Memanglah Ayul suami Zani tapi kita bukannya suami isteri betul-betul,” buntang mata Fakrul mendengarkan kata-kata isterinya itu.
“Apa maksud Hanna yang kita bukannya suami isteri betul-betul?  Pagi tadi Hanna dengar sendiri abang lafaz nikah depan tok kadi, kan?  Semuanya sudah sah.  Jadi kenapa pulak Hanna cakap kita buakn suami isteri betul-betul?  Hanna ingat kita sedang main pondok-pondok ke?” Fakrul sangat tidak berpuas hati akan tanggapan isterinya itu.
“Bukan itu maksud Zani?” bentak Ezani.
“Habis tu?” pantas sahaja Fakrul membalas.
“Ayul”
“Abang!” sekali lagi Fakrul membetulkan sebut kata isterinya.
“Ayul, janganlah macam ni.  Kalau asyik macam ni, macam mana kita nak berbincang?  Orang dah la runsing dia boleh buat lawak bodoh pulak!” marah Ezani.
Fakrul menarik nafas dalam.  Cuba mengawal suhu amarah yang semakin memuncak.  “Apa yang runsing sangat ni?  Bila masa abang buat lawak bodoh?  Salah ke kalau panggil abang macam tu?  Bodoh sangat ke bila panggil macam tu?  Apa yang tak kena?  Cuba Hanna cakap pada abang?”  Fakrul menjarakkan diri daripada isteri yang baru dinikahinya itu.  Tersinggung benar hatinya.  Tidak layakkah dia untuk mendapat gelaran hormat pengikat kasih sayang seperti itu daripada isterinya?  Berat sangatkah?
Ezani semakin runsing dan tidak faham dengan situasi ini.  Kenapa Fakrul mendesak dirinya sebegitu?  Penting sangatkah panggilan abang itu.  Kenapa Fakrul berlagak seolah-olah perkahwinan mereka ini suatu kerelaan baginya?  Bukankah Fakrul sendiri tidak rela?  Apabila Fakrul menjauhkan dirinya sedikit-sebanyak rasa bersalah mula menyelubungi diri Ezani.  Sedar perbuatannya itu adalah dosa.  Mengecilkan hati suaminya adalah suatu yang dilarang Islam.  Ezani tahu itu.  Bukan dirinya tidak sayang pada Fakrul.  Cuma luahan hati Fakrul pada emaknya tempoh hari masih menghantui dan terngiang-ngiang di telinganya.  Sukar bagi Ezani untuk menerima keadaan yang berbeza dari yang dibayangkannya selama beberapa hari ini.
            Setelah keadaan menjadi agak tenang.  Fakrul akhirnya bersuara.
            ”O.K.  Cakap apa yang Zani nak cakap.”
            Ezani menunduk seketika.  kekuatan.  Nafasnya ditarik dalam. Cuba untuk mengumpul.  Tidak lama kemudian barulah dia bersuara.  ”Ayul, kita nak buat macam mana sekarang?”
            “Buat macam mana apa?”dingin saja suara itu.  Wajah Ezani langsung tidak dipandangnya.  Tanda protes terhadap perlakuan Ezani sebentar tadi.
            “Perkahwinan kita ni lah.  Ayul bercadang nak kekal macam ni berapa lama?  Takkan nak hidup macam ni selama-lamanya?” balas Ezani.  Fakrul terus berpaling.  Menatap wajah isteri yang baru dinikahinya siang tadi.  Pelik dengan soalan Ezani itu.
            “Lama mana?  Sampai bila-bila lah.  Hidup macam ni?  Hidup macam mana yang Hanna maksudkan?”  Entah mengapa sebaik sahaja sah Ezani menjadi isterinya, panggilan Hanna amat mudah keluar dari bibirnya.  Tiada lagi Ezani.
            “Takkanlah...” Spontan kata-kata itu terkeluar dari mulut Ezani.
            “Kenapa?  Tak boleh ke?” Tanya Fakrul lagi. 
“Apa masalahnya?”
            “Ayul, Ayul buat semua ni sebab kesiankan Zani ke?”
          “Kesian?  Apa ni Hanna?  Sungguh abang tak faham apa yang Hanna cuba sampaikan ni?  Cuba cakap dengan terang...” Tegur Fakrul.  Sungguh dia tidak tahu apa yang cuba disampaikan oleh Ezani.  Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan.
“O.K.  Pendek katanya begini.  Hanna, tahu Ayul memang tak ingin kahwin dengan Zani tapi...” tersengih-sengih Fakrul memandang isterinya.  Terhenti seketika Ezani dari berkata-kata.
            “Sengih-sengih kenapa?” tanya Ezani dalam kepelikan.  Orang cakap betul-betul dia main-main pulak.  Sekejap dia marah sekejap lagi dia sengih.  Dah tak betul ke si Ayul ni?  His, geram betul!
            “Tak ada apa-apa.  Tak ada apa-apa…  Sambunglah,”  kuntuman senyuman masih lagi dibibirnya.  Suka benar hatinya apabila mendengar Ezani membahasakan dirinya Hanna.  Walau Fakrul tahu Ezani tidak sedar dan hanya tersasul. Sekurang-kurangnya  Fakrul tahu masih ada ruang untuknya di hati wanita itu.  Walau hanya secebis tapi ianya sudah memadai buat masa ini.  Namun Fakrul tekad untuk mendapatkan lebih lagi tempat di hati isterinya itu.  Tidak mengapa suatu hari nanti akan aku takluki hatinya itu.  Semuanya...
            “Err… bila Ayul nak lepaskan Zani?”  ibarat suatu letupan bom atom di kepalanya.  Fakrul sungguh tak menyangka Ezani akan berkata sebegitu.  Belum pun satu hari mereka bergelar suami isteri, perkataan cerai telah terkeluar dari mulut Ezani.  Pucat sungguh muka Fakrul ketika itu.  Mati terus senyuman yang berkuntum dibibirnya semenjak tadi.  Tidak terlintas dihatinya untuk melepaskan isterinya itu.  Tidak walau secebis.  Kalut sungguh hatinya pada detik itu.
            “Kenapa pulak Ayul nak lepaskan Hanna?” suara Fakrul sedikit bergetar.
            “Ayul…  Zani sedar yang hati Ayul bukan untuk Zani.  Untuk apa Ayul simpan Zani sedangkan hati Ayul bukan di sini.  Kebahagiaan Ayul bukan di sini.  Bukan pada Zani.  Tak ada beban untuk apa batu digalas.  Zani tak nak jadi beban dalam hidup Ayul.  Jadi petualang dalam hidup Ayul,” terang Ezani sambil tertunduk.  Entah mengapa hatinya tidak cukup kuat untuk menatap wajah suaminya itu. 
Tiba-tiba sahaja hatinya sendiri bagai tidak rela dengan apa yang dituturkannya.  Pedih sungguh hatinya.  Rasa seolah ada pisau yang meradak hatinya.  Bagai ternampak-nampak darah yang membuak-buak dari luka hatinya. 
“Tak mengapalah Ayul.  Zani faham.  Zani tak nak bebankan Ayul.  Lepaskanlah Zani.  Zani rela,” tambahnya lagi apabila Fakrul hanya mendiamkan diri.  Matanya pula telah mula membahang.  Sungguh hatinya tidak rela.  Namun ini semua demi kebahagiaan Fakrul.  Dirinya sanggup menderita asalkan Fakrul dapat hidup bahagia.  Tanpa dirinya Fakrul akan mampu mencari semula cintanya yang hilang.  Sungguh Ezani tidak mahu menjadi penghalang.
            Entahkan dengar entahkan tidak.  Fakrul hanya membatu di tempatnya.  Sungguh dia tidak tahu apa jawapan yang harus diberikannya.  Apa yang pasti hatinya tidak rela.  Tidak semena-mena Fakrul terasa tanggannya dicapai.  Dia menoleh.  Kelihatan Ezani dalam juraian air mata tunduk mencium tangannya.
“Ayul, ampunkanlah Zani.  Ampunkanlah Zani...  Zani tahu berdosa bagi seorang isteri seandainya minta untuk dilepaskan.  Bukan Zani nak mengumpul dosa.  Zani tahu Ayul tak rela terima Zani. Untuk kebaikan kita Ayul lepaskanlah Zani,”  sekali lagi Ezani meminta untuk dirinya dilepaskan.
            Perlahan Fakrul menarik tangannya yang dipegang kejap oleh isterinya.  Sungguh hatinya bingung.  Merah sudah bola matanya menahan tangis.  Pedih.  Pilu.  Tidak mampu terucap dibibirnya.  Sangkanya bahagia adalah miliknya.  Bernikah dengan insan yang amat menyayangi dirinya di sangka akan membawa bahagia.  Sungguh bukan dirinya tidak sedar Ezani menyayangi dirinya.  Cuma waktu itu hatinya buta dek cinta Nina.  Oleh kerana Nina ibarat segalanya, kasih sayang Ezani lantas ditolak tepi.  Dilabel hanya sebagai kasih buat adik.  Kini hatinya berubah.  Tatkala hatinya berubah dan berazam untuk membalas kasih sayang dari Ezani itu keadaan jadi begini.  Seandainya berita ini sampai ke pengetahuan emaknya,  pasti emaknya itu kecewa.  Fakrul tahu emaknya itu terlalu menyayangi Ezani.  Gembira di hatinya terpancar jelas di wajahnya sepanjang majlis hari ini.  Langsung tidak merungut penat melayan tetamu.  Langsung tidak duduk diam.  Fakrul tidak sanggup melihat emaknya kecewa.
            “Betul Hanna nak abang lepaskan Hanna?” tanya Fakrul tanpa memandang wajah Ezani.  Tidak sanggup rasanya.  Ezani hanya menganggukkan kepalanya.  Fakrul melihat hanya dari ekor matanya.   Setelah mendapatkan jawapannya Fakrul bingkas bangun.
            Setelah melepaskan suatu keluhan berat barulah Fakrul kembali bersuara.  
“Kalau itu yang Hanna nak, baiklah.  Abang akan fikirkan."  Selesai sahaja ayat itu Fakrul terus berlalu meninggalkan bilik itu.  Tidak lama kemudian kedengaran ngauman kereta yang akhirnya sayup-sayup pergi.  Tatkala itu juga terjelopok Ezani di kaki katil. 
Abang, maafkan Hanna.  Sungguh Ezani rasa tidak berdaya.  Akhirnya Ezani terlena di kaki katil tanpa sebarang alas. Ezani tidur hanya berbantalkan lengannya.  Merekot akibat kesejukan.  Ada riak sendu di wajahnya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?