Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Tuesday, November 9, 2010

Bahagian 11

EZANI telahpun terlena apabila kereta Fakrul tiba di perkarangan rumah.  Entah mengapa sebaik tiba di perkarangan rumah tadi Fakrul tidak terus membawa Ezani masuk.  Sebaliknya dia hanya merenung Ezani yang sedang nyenyak.  Dalam hatinya wujud satu perasaan asing.  Ada rasa risau serta rasa marah yang tidak menentu sebaik sahaja melihat kecederaan gadis itu tadi.  Malah hatinya kini terpalit rasa sayu tatkala melihat balutan yang terdapat pada tangan dan lutut gadis itu.  Dia mengeluh sendiri.
            Fakrul sedikit tersentak apabila tingkap keretanya diketuk secara tiba-tiba.  Sedikit terkejut apabila melihat wajah emaknya berada rapat pada cermin kereta.  Lantas Fakrul membuka pintu keretanya.
            “Kamu berdua ni pergi ke mana?  Kalut mak tadi dibuatnya.  Tiba-tiba saja kamu berdua hilang.  Tahu-tahu saja tadi Pak Mail kamu cakap kamu dukung si Ezani ni keluar.  Ayul bawak dia ke mana?” ibarat bertih jagung Mak cik Limah bertanya.  Tidak sempat Fakrul menjawabnya.  “Eh, kenapa tangan si Zani tu berbalut?” tanya Mak cik Limah sebaik sahaja matanya tertancap pada kain putih yang membaluti tangan Ezani.
            Fakrul pantas meletakkan jarinya di mulut.  Memberi isyarat kepada emaknya supaya senyap.  Fakrul bimbang lena Ezani akan terganggu.  Gadis itu sudah terlalu penat.  Biarlah dia berehat dahulu.  Itulah fikirnya.
            “Masuklah dulu mak.  Nanti Ayul ceritakan pada mak,” bisik Fakrul kepada emaknya demi mengurangkan rasa gundah wanita tua itu.  Mak cik Limah hanya mengangguk.
            Perlahan-lahan Fakrul mengangkat Ezani menuju ke kamar pengantin.  Kamar yang bakal dikongsikan oleh mereka berdua esok.  Agak berdebar ketika dia melangkah masuk ke bilik itu bersama gadis yang sedang nyenyak lena ini.  Fakrul sedikit tersenyum tatkala melihat lena Ezani yang langsung tidak terganggu walaupun dia telah meletakkan gadis itu di pembaringannya.  Kemudian dia bergerak ke almari dan mengeluarkan sehelai selimut.  Seterusnya dia menyelimuti gadis itu hingga ke paras dada.  Dan dengan penuh berhati-hati dia membuka tudung yang mengalasi kepala Ezani.  Tudung yang menghalangnya daripada melihat mahkota indah milik gadis itu.  Tangan Fakrul sedikit menggeletar.  Matanya pula seakan terpesona melihat wajah Ezani tanpa hijab.  Walaupun rambut gadis itu sedikit berserabut kerana tidak disikat.  Ringan sahaja tangannya ingin membelai mahkota indah itu.  Namun, kemunculan Mak cik Limah secara tiba-tiba di muka pintu telah membantutkan niatnya.  Setelah dipastikannya tangan serta lutut Ezani yang tercedera itu berada dalam keadaan yang selesa barulah Fakrul berpaling untuk keluar.
            “Tidurlah.  Moga ada mimpi indah,” sempat jua dia menuturkan ucapan itu sebelum kakinya melangkah pergi meninggalkan Ezani yang sedang nyenyak beradu.  Semoga tidur gadis itu tidak akan terganggu sehingga keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?