Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Thursday, November 11, 2010

Bahagian 15

JAM sudah berdenting sebanyak empat kali ketika Fakrul kembali menjejakkan kembali ke kamar pengantin setelah puas memujuk hatinya yang lara.  Siapa sangka hatinya akan begitu terguris tatkala mendengar kata perpisahan yang dilafazkan oleh Ezani.  Bila difikirkan kembali, dirinya juga berasa runsing.  Kenapa dia perlu bersedih hati apabila Ezani meminta untuk dilepaskan sedangkan semalam dengan lantang dia berkata kepada ibunya bahawa tiada ruang dan cinta buat Ezani dalam hatinya.  Lalu mengapakah kini hatinya begitu terluka?  Seketika baru Fakrul perasan bahawa bilik itu telah kosong.  Langsung tiada kelibat Ezani di situ.  Fakrul mula panik.  Bimbang Ezani telah melarikan diri ketika dia keluar mencari ketenangan sebentar tadi.  Fakrul terjelepuk ke lantai.  Hatinya yang terguris bertambah parah.  Sebenci itukah Ezani terhadap dirinya sehingga tidak mampu menunggu kata putus dari dirinya.  Langsung tiada nilaikah pernikahan ini buat dirinya?  Ke mana hilangnya kasih sayang dan cinta yang sering terpancar dari sinar mata Ezani selama ini?  Sayang, ke mana kau menghilang?
            Setitis demi setitis air matanya mengalir.  Keperitan yang dirasainya beberapa hari lalu kini kembali.  Tetapi kesannya kini bertambah parah.  Mana tidaknya.  Dahulu ketika Nina lari meninggalkan dirinya, dia masih lagi beruntung kerana masih mempunyai Ezani di sisinya.  Tetapi kini siapa lagi yang tinggal bersama dirinya untuk terus mengharungi kepahitan hidup ini?  Mengenangkan hakikat nan satu itu telah menyebabkan esakan Fakrul bertambah hebat.  Jiwanya tertekan.  Fakrul mengambil bantal tidurnya lalu dicampakkan ke pintu almari.  Tiba-tiba tangisan Fakrul terhenti apabila telinganya bagai dapat menangkap satu bunyi halus yang sedang menyebut namanya. 
            “Ayul...”  Sekali lagi Fakrul dapat mendengar namanya dipanggil.  Pantas dia menoleh ke sekeliling.
            “Sayang...”  Lantas Fakrul menerkam dan memeluk Ezani sepuas hati.  Sangkanya Ezani telah pergi meninggalkan diri.  Juraian air matanya kembali membasahi pipinya.  Namun kini juraian air mata itu adalah juraian air mata syukur.
            “Ayul, kenapa ni?”  Terpisat-pisat Ezani apabila tiba-tiba dirinya dipeluk dan dicium sebegitu rupa.  Lagaknya seperti mereka sudah berpuluh tahun berpisah dan kini baru berjumpa.  Apa yang berlaku terhadap Ayul?
            “Tak ada apa-apa sayang.  Terima kasih.  Terima kasih banyak-banyak,”  Ezani yang tidak tahu hujung punca tangisan Fakrul hanya menganggukkan kepala.  Diusapnya kepala Fakrul sehingga tanpa dia sedari dirinya juga akhirnya terlelap di atas lantai bersebelahan Fakrul.  Dan masing-masing hilang dalam sendu yang membukit.

LAUNGAN azan telah mengejutkan Ezani dari lenanya.  Terasa seperti ada tangan yang melingkari tubuhnya.  Ezani kaget seketika.  Dia tidak sedar bila masanya mereka berdua tertidur begitu.  Entah berapa lama tidurnya enak dalam dakapan Fakrul.  Sedikit rasa bahagia mula menyelinap ke dalam jiwa.  Namun rasa indah itu hanyalah seketika.  Semuanya hilang tatkala diusir jeritan Fakrul dua hari lalu.  Lantas tangan Fakrul yang sedang melingkari pinggangnya dialih perlahan.  Ezani bangun.  Direnungnya Fakrul dengan penuh kasih sayang. 
            “Maafkan Zani, Ayul.  Bukan Zani tak sudi menjadi suri hidupmu tetapi Zani tak tega andai Ayul memaksa diri untuk menerima Zani sedangkan hati Ayul bukan untuk Zani.  Zani sentiasa berdoa agar Ayul akan berbahagia di samping insan yang Ayul cinta.  Zani sedar bahawa diri ini tidaklah begitu bertuah untuk bergelar insan yang Ayul cinta.  Maafkan Zani, sayang.”  Gerakan kecil Fakrul telah menyebabkan Ezani berdiri secara spontan.  Bimbang tindakannya itu disedari oleh Fakrul.  Risau andai perlakuannya itu akan menyerlahkan rasa hatinya yang sebenar. 
Hakikatnya Fakrul telah pun lama sedar.  Memandangkan tidurnya yang tidak lena akibat dari fikirannya yang kacau dan berserabut.  Maka sedikit sahaja pergerakan dari Ezani telah menyebabkan lenanya terjaga.  Fakrul tersenyum di dalam hati.  Ternyata sangkaannya benar belaka.  Akhirnya dirinya yakin dengan keputusan yang dilakukannya malam tadi kerana Fakrul tahu kasih Ezani buat dirinya masih belum berubah.  Segalanya masih seperti dahulu.
Fakrul berpura-pura mengeliat.  Cuba untuk meregangkan otot-otot yang bersimpul di badannya.  Sakit juga badannya kerana tidur di lantai tanpa alas.  Namun untuk tidur di atas katil serba nan indah itu dalam keadaan begini sungguh dia tidak sanggup.  Fakrul menghadiakan senyum kepada Ezani yang setia terpaku melihat setiap perlakuannya.
“Err... bangunlah.  Dah masuk waktu Subuh,” hanya itu yang mampu dilafazkan Ezani untuk menutup kekalutan hatinya.  Tidak sangka matanya itu sudah mula menderhaka kepada tuannya.  Tanpa kebenaran merenung setiap perlakuan suaminya itu dengan penuh minat dan kasih sayang.  Walaupun enggan akhirnya Ezani terpaksa mengakui bahawa seyuman Fakrul tadi benar-benar telah menceriakan harinya.  Sungguh hatinya tidak percaya.  Semudah itu Fakrul berjaya menceriakan kembali hatinya yang rawan.
Ezani bingkas.  Tidak mahu berlama di hadapan Fakrul.  Mentelahan pula waktu Subuh sudah makin singkat.  Dia perlu membersihkan diri sebelum memperhambakan diri pada Dia yang satu.  Tuala mandi dicapainya sebelum berlalu ke bilik air.  Namun tidak sampai seminit, Ezani keluar kembali.  Dia membuka almari dan mengambil sepasang baju kurung sebelum kembali menghilang ke dalam bilik air.
Fakrul hanya tersenyum.  Dia malulah tu, desis hati kecilnya.  Buat seketika Fakrul duduk termenung sambil merenung ruangan bilik yang banyak menumpahkan air matanya dan air mata Ezani malam tadi.  Fakrul menggeleng kesal.  Semua ini tidak sepatutnya berlaku.  Segalanya harus diperbetulkan secepat mungkin.  Semangatnya ditekadkan dan keputusannya dimuktamadkan.  Semoga Allah membantu hasrat murninya itu.
Tidak lama kemudian, Ezani keluar dari bilik air dengan keadaan rapi berbaju kurung.  Setelah meletakkan tualanya dipenyidai Ezani mula mengutip bantal-bantal yang bersepah dilantai.  Ketika dia mendekati Fakrul untuk mengambil sebiji bantal, Fakrul cuba untuk memegang tangannya.  Dengan pantas Ezani mengelak.
“Orang dah ada air sembahyang...”
Fakrul tertawa kecil melihat Ezani.  
“Abang tahulah.  Saja je abang acah sayang tadi.”  Sengaja ditanyangkan wajah nakal untuk santapan Ezani.  Dia rindukan kembali keceriaan dan kenakalan hubungan mereka dulu.
“Huh! Dah mula nak cari fasal lah tu.  Cepatlah pergi mandi.  Subuh pun dah nak habis tu,” ucap Ezani yang sudah mula menyarung telekung.
“O.K.  Tapi sayang jangan berani-berani nak solat dulu ya.  Tunggu abang.  Kita jemaah sekali.  O.K. sayang tunggu abang tau.  Mmmmuaaahhh!!” Fakrul sengaja membuat gaya seolah-olah dia hendak mencium Ezani.  Dan sebaik sahaja Ezani mengelak tawa riangnya terus sahaja meledak.  Ketawanya itu dibawa masuk hingga ke dalam bilik air.
Ezani pula hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala.  Ternyata sifat Fakrul yang satu itu masih belum berubah.  Nakal.  

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?