Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Sunday, July 25, 2010

Bahagian 2


EZANI terkejut apabila bahunya disentuh seseorang.  Pantas hilang segala lamunan masa silamnya tadi.  Dia terpinga-pinga apabila melihat senyuman Fakrul yang mesra bersama satu renungan yang tidak mampu ditafsirkannya.
            “Mengelamun ya, teringatkan apa?” usik Fakrul pula.  Satu senyuman manis dihadiahkan oleh lelaki itu kepada Ezani.
            Ezani hanya hanya membalas dengan senyuman kelat.  Tidak mampu menyangkal kata-kata Fakrul sedangkan dirinya tadi memang hilang dalam lamunan.  Tambahan pula, bukan mudah untuk menegakkan benang yang basah.  Lebih baik dia mendiamkan diri.
            “Abang keluar iring tetamu dulu ya.  Nanti abang masuk semula dengan kerusi roda.  Luka jahitan tu masih baru.  Takut nanti melarat pulak kalau Hanna jalan.  Hanna tunggu sini tau.  Jangan pergi mana-mana,” pesan Fakrul.  Mesra sahaja bunyinya.
            Ezani pula bagaikan tidak percaya apabila mendengar kata ganti diri yang digunakan oleh suaminya.  Abang.  Hanna.  Sungguh Ezani tidak mengerti.  Dan sebaik sahaja Fakrul dan para tetamu keluar dari bilik tersebut, Ezani kembali menyambung lamunannya.  Kali ini terimbau pula detik-detik cemas kurang empat puluh lapan jam yang lalu.
EZANI cuba memaniskan wajah sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke perkarangan rumah Fakrul.  Hatinya yang menangis cuba sedaya upaya diselindungkan sedalam mungkin.  Bimbang duka di hatinya bakal menjejaskan keceriaan majlis sahabatnya.  Ceria?  Ezani menoleh ke sekeliling perkarangan rumah.  Hatinya tiba-tiba dijentik hairan.  Mengapa suasana di rumah ini tiba-tiba dirasakannya tegang?  Mengapa bagai sirna rasa bahagia yang sebelum ini memenuhi segenap sudut di rumah ini?  Adakah sesuatu telah berlaku atau ini hanyalah mainan perasaannya sendiri?  Dengan hati yang penuh tanda tanya, Ezani terus melangkah ke dalam rumah.
Sebaik sahaja melangkah masuk, kelihatan Fakrul yang hanya duduk berteleku di suatu sudut rumah.  Mak Cik Limah pula hanya mengesatkan air matanya.  Ezani terus meluru mendapatkan Mak Cik Limah yang telah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri.
            “Mak cik, kenapa mak cik menangis? Apa yang dah berlaku?” tanya Ezani dengan penuh berhati-hati.  Hatinya cuak apabila melihat Mak Cik Limah yang sedang bersedih.  Malah jantungnya juga turut berdebar menantikan butir bicara yang bakal keluar.  Entah mengapa, hatinya bagai kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena.  Suasana tegang yang menyelubungi keluarga itu juga seolah-olah memberikan petanda ada berita kurang enak yang bakal didengarinya.  Berderau darahnya apabila Mak Cik Limah secara tiba-tiba memeluk dirinya.
            “Zani, Nina...” kata Mak Cik Limah dalam tangisnya.
            “Kenapa dengan Nina, mak cik?” bergetar jantungnya tatkala mendengar nama Nina diselang sebut dalam esakan tangis Mak Cik Limah.  Hatinya berdebar.  Dapat dirasakan seolah-seolah firasat buruknya tadi sedang benar-benar terjadi.  Namun Ezani tetap cuba menghalau perasaan negatif itu jauh-jauh.  Tidak mahu ianya terus-terusan menganggu ketenangan hatinya yang telah sedia sarat dengan rasa terluka.  Namun wajah sedih Mak Cik Limah benar-benar mengganggu emosinya.  Mak Cik Limah ibarat ibu buat dirinya.  Lantas, kesedihan keluarga itu sedikit sebanyak akan memalit duka di hatinya.
            “Nina, dah lari.  Nina tak nak bernikah esok.  Nina nak batalkan majlis esok, Zani,” tersedu-sedan Mak Cik Limah sebaik sahaja menuturkan ayat itu.  Pilu sungguh rasa hatinya di kala itu.  Rasa kecewa, sedih dan pilu terasa bagai datang menderu-deru di dalam kalbu.  Hampir lencun lengan baju kurung Kedah yang dipakainya kerana mengelap air mata yang sejak dari tadi tidak jemu-jemu tumpah dari tubir matanya. 
            “Masyaallah...”  hanya itu yang mampu dituturkannya buat masa itu.  Otaknya beku.  Lidahnya kelu.  Ternyata berita yang baru sahaja singgah di telinganya itu berada di luar andaianya tadi.  Dan berita itu sangatlah mengejutkan.  Fikirannya kosong buat seketika.  Di kala otaknya sudah mampu mentafsir keadaan, matanya pantas mencari kelibat Fakrul.  Hatinya tidak sabar-sabar hendak mengetahui keadaan sahabat baiknya itu.  Rasa bimbang juga mula menyentak hatinya. 
Setelah beberapa ketika mencari, akhirnya dia dapat melihat kelibat Fakrul di satu sudut yang agak tersorok.  Sedang duduk termenung dengan wajah yang sugul.  Ezani memerhatikan Fakrul dari jauh.  Ingin sekali dia mengetahui rasa hati sahabatnya itu.  Kalau boleh, dia juga ingin turut sama berkongsi rasa itu.  Biar kurang sedikit bebanan perasaan yang sedang ditanggung.  Dengan langkah yang teragak-agak, Ezani melangkah mendekati Fakrul.  Ternyata Fakrul begitu asyik dengan lamunannya.  Atau sudah tenggelam bersama gejolak rasa yang kian menguasai jiwa.  Fakrul langsung tidak berkutik apabila didekati.  Mungkin kehadiran Ezani langsung tidak dapat dia rasai memandangkan rasa luka di hatinya kini telah mengatasi segalanya.
Siapa yang tidak sedih apabila pelamin angannya musnah di saat segalanya bagaikan sudah berada di hujung jari.  Kemanisan kebahagiaan juga bagaikan sudah dapat dirasai.  Namun siapa sangka, segalanya musnah sebelum pelamin itu mampu disentuh dan bahagia itu mampu dikecapi.  Menitis air mata Ezani melihat kesedihan yang sedang ditanggung oleh Fakrul.  Rasa simpatinya semakin menggunung.  Rasanya seperti baru semalam dirinya menyaksikan bermulanya episod cinta antara Fakrul dan Nina.  Bagaikan masih terasa tempias bahang api asmara mereka berdua.  Masih terngiang-ngiang gelak tawa dan guruan senda di antara mereka.  Asyik sungguh mereka dalam melewati musim bunga-bunga cinta.  Ezani bingung.  Hatinya tidak mengerti mengapa semua ini terjadi.
Ezani menyentuh lembut bahu Fakrul.  Namun Fakrul langsung tidak berkutik.  Menoleh jauh sekali.  Ezani menarik nafas dalam.  Cuba menahan rasa sebak yang semakin mengasak jiwa.  Melihat Fakrul seperti orang kehilangan jiwa benar-benar merobek hatinya.  
            “Yul, sabarlah.  Mungkin Nina pergi sekejap aje tu, ada urusan barangkali.  Petang ni baliklah Nina tu,” ucap Ezani dalam nada yang memujuk yang tertahan-tahan.  Dirinya sendiri tidak tahu sama ada kata-katanya itu masuk akal atau tidak.  Yang pasti hatinya tidak betah melihat Fakrul untuk terus membeku kelu begitu.  Hatinya menjadi semakin terguris tatkala terpandang ada manik jernih yang mula hadir di wajah yang penuh duka itu.   Hatinya tekad.  Dirinya perlu melakukan sesuatu.  Jika tidak dia perlu terus-terusan menanggung rasa pedih ini.  Rasa pedih yang beribu kali ganda pedihnya berbanding rasa pedih yang dirasainya apabila mendapat berita bahawa Fakrul dan Nina bakal melangsungkan perkahwinan mereka beberapa bulan yang lalu.  Setidak-tidaknya dirinya masih lagi mampu tersenyum dan merasa bahagia apabila melihat senyuman manis yang terukir di wajah nan ceria.  Ezani tegar menyimpan rasa cinta yang sentiasa menggebu  dalam jiwa demi melihat wajah itu bahagia.  Dan kini wajah itu sedang sarat menanggung duka.  Sungguh hatinya tidak berdaya.
“Yul, janganlah diam macam ni.  Cakaplah dengan Zani.  Zani tahu Yul sedih tapi janganlah macam ni.  Zani risaulah Yul diam macam ni...” sedaya upaya Ezani cuba memancing bicara Fakrul.  Dadanya kini semakin sesak.  Matanya pula sudah mula terasa bahang.  Ezani dapat merasakan seolah-olah empangan air matanya ini hanya menunggu untuk pecah.  Dan bola matanya juga sudah semakin merah demi menahan sebak yang semakin menjengah. 
“Yul...” panggil Ezani lagi.  Getaran suaranya semakin ketara.  Serasa bagai tidak mampu lagi dibendung rasa sebak itu.  Akhirnya Ezani kalah jua dengan perasaannya.
Fakrul tersedar.  Bunyi esakan halus itu benar-benar menyentuh jiwanya.  Lantas dia menoleh.  Kelihatan Ezani yang bersimpuh disisinya bersama juraian air mata.  Wajah basah Ezani dipandangnya kosong.  Dirinya terasa malas untuk mengendahkan segala yang berlaku di sekelilingnya.  Biarlah apa sahaja yang ingin berlaku, hatinya tidak peduli.  Namun wajah sayu Ezani itu betul-betul meresap jauh ke lubuk hatinya hingga langsung tidak membenarkan dirinya untuk terus mendiamkan diri.  Bagaikan ada kuasa yang menghalang dirinya dari terus mengabaikan kehadiran Ezani di sisinya. 
Akhirnya, tanpa sebarang bicara, Fakrul menyerahkan sepucuk surat yang telah renyuk dan basah dengan air mata kepada Ezani.  Dengan tangan yang menggeletar, Ezani menyambut huluran tersebut.  Bagaikan terdengar bunyi degupan jantungnya sendiri ketika matanya tertancap pada tulisan tangan yang sangat dikenalinya.  Lama Ezani merenung tulisan yang kemas dan cantik itu.  Ternyata warkah itu datangnya daripada Nina.

Kehadapan Fakrul yang ku kasihi,
            Maafkan diri ini kerana menyampaikan warkah ini disaat kita bakal menyambut hari berbahagia kita.  Maafkan diri ini juga kerna terpaksa melukai hatimu taktala gerbang perkahwinan kita hanya tinggal jarak sejengkal cuma.  Maafkanlah diri ini kerna terpaksa pergi meninggalkan dirimu seperti ini.  Sesungguhnya diri ini memang pernah menyayangi dirimu.  Tempoh percintaan kita hampir setengah dekad  lamanya,  mana mungkin tiada rasa sayang antara kita.  Nina akui sepanjang tempoh itu Nina agak bahagia ketika bersama Yul cumanya itu bukan bahagia yang Nina cari.  Yul bukanlah cinta sejati buat Nina.  Ada insan lain yang bertakhta di hati Nina.  Yul, maafkanlah Nina kerna terpaksa melukakan hatimu.
              
Tunangku Fakrul,
            Sebenarnya sepanjang hubungan kita, Nina juga telah menjalinkan hubungan dengan insan lain.  Nina sangat mencintainya.   Sesungguhnya Nina  sangat mencintai dirinya.  Dialah segalanya buat Nina.  Nina berasa sangat bahagia pabila bersamanya.  Bukan niat Nina ingin mengaibkan Yul sekeluarga apabila menerima pinangan daripada keluarga Yul.  Tiada langsung niat di hati Nina.  Cinta kami adalah cinta terlarang kerna dia adalah milik orang.  Papa dan mama tidak merestui cinta kami.  Setelah dipujuk oleh mama akhirnya Nina bersetuju untuk  menerima pinangan dari keluarga Yul.  Sungguh Nina telah cuba untuk menerima hakikat cinta kami tidak akan kesampaian namun Nina tak sanggup Yul.  Tak  sanggup untuk melupakan dia.  Dialah kebahagiaan hidup Nina, dia adalah segalanya buat Nina..


Fakrul Ezairy sayang,
            Izinkanlah diri ini pergi.  Nina doakan agar Yul akan bertemu dengan insan yang lebih baik dari Nina dan semoga berbahagia selalu.  Nina juga berharap agar Yul juga dapat mendoakan kebahagiaan diri ini disamping  insan yang Nina cintai.  Lupakanlah Nina.  Dan usahlah lagi dicari diri ini kerna Nina akan pergi jauh dari sini.  Pergi bersama si dia dan cuba untuk membina mahligai kami berdua.  Doakan Nina ya!  Semoga kita tidak akan berjumpa lagi.

Dari insan yang pernah menyayangimu;
Nina Haryani Mahmood

            Terkelu lidah Ezani membaca warkah ditangannya.  Tidak disangkanya bahawa selama ini Nina sanggup menduakan Fakrul.  Selama ini mereka kelihatan bahagia.  Tidak terjangkau dek akalnya perkara sebegini bakal berlaku.  Entah apa yang mampu diperkatakan olehnya kepada Fakrul untuk menenangkan jejaka itu.  Sungguh Ezani tidak tahu.  Mak Uteh yang sedang bising akibat runsing memikirkan majlis-tak-jadi esok benar-benar menambahkan rasa serabut yang ditanggungnya.  Lembu dua ekor telah ditumbangkan.  Jemputan pula telah dijemput dan semua kelengkapan telah disediakan.  Yang kurang hanyalah pengantin perempuannya. Hendak ditukar majlis ini menjadi majlis kesyukuran atau majlis doa selamat memanglah boleh, namun sudah pasti Fakrul dan Mak Cik Limah bakal menanggung malu.  Jemputan dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan dan bukannya majlis doa selamat.  Lebih memburukkan keadaan apabila menurut perancangan, majlis di kedua-dua belah pihak bakal dijalankan serentak memandangkan jarak rumah kedua-dua bakal mempelai ini tidaklah jauh mana.  Suntuk benar masa yang ada untuk membetulkan segalanya.  Ah!! Ezani buntu.
            “Limah oi, macam mana ni?  Apa yang kita nak cakap esok kalau orang tanya mana pengantin perempuannya.  Barang-barang yang banyak ni pulak apa kita nak buat apa?” Mak Uteh memang agak bising orangnya namun Ezani tahu niat Mak Uteh baik sebenarnya.  Mendengarkan kata-kata Mak Uteh itu, Ezani juga turut kusut memikirkan penyelesaiannya.  Fakrul langsung tiada bertindak balas.  Kaku dan diam di situ.  Mak Cik Limah pula tidak henti-henti mengelap air matanya yang tidak henti-henti menitis.  Pilu sungguh rasa hatinya.  Apalah dosanya hingga perkara sebegini berlaku.
            “Entahlah Uteh, aku pun tak tahu apa nak buat ni.  Aku sendiri pun buntu,” jawab Mak Cik Limah.  Lemah sahaja suara itu.  Air matanya masih lagi mengalir lesu.
            “Susah-susah kau kahwinkan saja si Ezani ni dengan Fakrul.  Budak-budak tu pun bukan tak pernah kenal.  Kawan pun dah lama,” jawab Mak Uteh celupar.  Terangkat kepala Mak Cik Limah mendengarkan kata-kata Mak Uteh.  Begitu juga dengan Ezani dan Fakrul.  Sama-sama berpaling melihat Mak Uteh dengan riak wajah yang tidak percaya.
            “Aku bukan apa Limah, aku cuma memikirkan kau esok.  Malu kau esok kalau tetamu datang dan tengok pengantinnya tak ada.  Lagi pun si Zani ni bukannya ada siapa-siapa pun.  Aku tengok dok sorang macam tu jugak!  Dah la baik lawa pulak tu budaknya.  Kau pun bukannya tak kenal hati budi dia.  Baik kau kahwinkan saja dua orang budak ni hah...  Menantu pun baik, masalah pun selesai.  Kan senang macam tu?” terus Mak Uteh lagi memberikan pendapatnya.  Kala itu Ezani merasakan seolah-olah sebuah bom atom telah meledak di kepalanya.  Berdentum kuat hingga membingitkan telinga dan membingungkan kepalanya.  Tergamam Ezani mendengar kata-kata Mak Uteh.  Serta merta seluruh badannya menjadi sejuk dan menggeletar.  Dunia terus dirasakan kelam dan berputar-putar.  Ezani seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.  Tidak tahu berapa lama dia berkeadaan sebegitu. Entah apa lagi yang diperkatakan oleh mereka Ezani tidak tahu.  Tahu-tahu saja Ezani melihat Mak Cik Limah telah memeluk dirinya sambil menangis.  Mukanya terselit seribu harapan.  Ezani bingung.  Fakrul juga bingung.  Semudah itukah?
            “Zani, terimalah Ayul.  Tolonglah mak cik.  Mak cik tak tau macamana nak berhadapan dengan orang-orang kampung ni nanti nak, Zani jangan salah faham, mak cik bukan nak mempergunakan atau ambil kesempatan pada Zani, mak cik cuma dah tak terdaya dan buntu nak memikirkan semua ni.   Zani, tolonglah mak cik nak... Mak cik merayu pada Zani... Mak cik sayangkan Zani macam anak mak cik sendiri.   Tolong mak cik ya Zani,”    rayu Mak Cik Limah.  Ezani merenung wajah tua di hadapannya.  Wajah itu kelihatan seperti begitu mengharap. Ezani termangu seketika.  Sungguh hatinya bingung.  Dan fikirannya buntu.  Dirinya kini berada dalam keadaan serba salah.  Hendak diluah mati emak, hendak ditelan mati bapak.  Ya Allah, apakah jawapan yang harus aku berikan?  Sedangkan wajah ibu tua di hadapan aku ini kelihatan begitu mengharap akan pengorbananku ini.  Ezani terkelu sendiri.  Air mata jernih yang tidak putus-putus mengalir benar-benar mengasak dadanya.  Apakah jawapan yang harus diberikan?
Selama ini memang impiannya untuk menjadi suri dalam hidup Fakrul namun bukan begini cara yang diimpikannya.  Bukan dengan cara seolah-olah dirinya mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh.  Ezani mahu Fakrul menerima dirinya kerana benar-benar menyayangi dirinya seperti mana dirinya menyayangi Fakrul.  Ezani bimbang Fakrul tidak akan bahagia sekaligus ini akan mengundang derita di hatinya.  Ezani memandang kosong wajah Fakrul di hadapannya.
’Ayul, tolong Zani Ayul’ rayu hatinya.  Saat itu Ezani sangat berharap agar Fakrul datang membantunya untuk membuat keputusan.  Sama seperti yang sering dilakukan oleh lelaki itu suatu ketika dahulu.  Namun hatinya tersentap apabila Fakrul bukan sahaja tidak membantu malah terus memalingkan wajahnya.  Ah! Sampai hati Fakrul membiarkan aku terkapai-kapai sendirian begini.  Ada rasa rajuk mula bertapak di hatinya.  Tetapi wajah mengharap Mak Cik Limah telah menyedarkan Ezani bahawa ini bukanlah masa yang sesuai untuk dia melayani rasa rajuk di jiwa.  Segalanya perlu diketepikan terlebih dahulu demi maruah seorang ibu tua.  Seorang ibu yang sekian lama menyiram kasih pada sekeping hatinya yang gersang kasih sayang seorang ibu.
Ezani buntu.  Saat ini dirinya terkenangkan arwah ibu bapanya.  Hatinya seakan-akan menyeru agar mereka ada bersama-samanya.  Membantu menyelesaikan masalah yang menjadi kemelut di hatinya.  Walau bagaimanapun, Ezani sedar bahawa mereka yang pergi tidak akan kembali lagi.  Dan, hari ini dia perlu membuat keputusan ini sendirian.  ’Ya Allah, aku bertawakal kepada-Mu.  Moga keputusanku ini adalah yang terbaik buat semua dan berada di bawah lembayung keredhaan-Mu.’
Akhirnya, Ezani mengganggukan kepalanya tanda setuju dan rela.  Rela untuk dijadikan korban demi menyelamatkan Fakrul sekeluarga daripada aib yang diundang Nina.  Tanda setuju untuk berada dalam sebuah ikatan yang tidak diketahui untung nasibnya.  Adakah sinar bahagia bakal menjelma atau dirinya sedang menempah duka?  Sesungguhnya Ezani tidak tahu.  Hanya tawakal yang dilemparkan dalam hatinya.  Moga keputusan yang diambilnya ini adalah yang terbaik buat semua.  Sejurus mendapat jawapan daripada Ezani, Fakrul merengus kasar dan terus berlalu meninggalkan Ezani yang terkelu sendirian. Mak cik Limah yang tidak sedar perbuatan anaknya itu terus memeluk erat Ezani yang masih terpinga-pinga akan perlakuan Fakrul itu?  Mengapa dia begitu?  Tidak setujukah dia?  Tanpa sedar air matanya yang pada mulanya semakin mengering kembali membasahi pipi mulusnya.  Terkesan hatinya akibat perbuatan Fakrul.  Sungguh dia tidak menyangka bahawa Fakrul tega meperlakukan begitu terhadap dirinya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?