Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Tuesday, November 9, 2010

Bahagian 12

EZANI terjaga daripada lenanya yang panjang apabila berasa pedih yang amat sangat pada tangan dan lututnya yang luka.  Juga rasa sedikit gatal dan berdenyut-denyut.  Mungkin kerana lukanya itu sudah mengering dan kesan ubat penahan sakit yang diberikan Dr. Ammar semalam sudah hilang kesannya.  Ezani menoleh pada meja solek yang berada di sebelah katil.  Merenung figuranya yang langsung tidak ceria.  Sedikitpun tidak menggambarkan bahawa dia bakal bergelar raja sehari pada hari ini.  Entah mengapa hatinya itu tiba-tiba dipalit rasa sayu.  Ezani berasa simpati terhadapnya dirinya sendiri. 
Warna merah dihujung jarinya mengingatkannya bahawa hari ini adalah hari perkahwinannya.  Oh, tidak.  Bukan hari perkahwinannya tetapi hari pernikahannya.  Dirinya hanya akan bernikah dengan Fakrul tetapi yang berkahwin hanyalah Fakrul dan Nina yang berada di dalam anganan Fakrul.  Dirinya hanya bertindak sebagai patung boneka di hadapan tetamu yang hadir nanti.  Ezani akan sentiasa mengingatkan dirinya akan perkara tersebut.  Fakrul adalah suami untuknya tetapi dirinya hanyalah isteri di atas kepingan kertas bagi Fakrul.  Tiada nilai dirinya bagi Fakrul.  Mungkin hanya beban.  Mengenangkan perkara ini bagai terasa ingin menitis air matanya.
Tiba-tiba Ezani terkenangkan ibunya.  Ibu, benarkah tindakan Zani ini, bu?  Akan bahagiakah Zani, ibu?  Ibu doakan anakmu dari kejauhan ya, bu.  Sesungguhnya apa yang Zani lakukan ini juga adalah untuk seorang insan yang bergelar ibu.  Seorang ibu yang telah menabur banyak jasa dalam hidup Zani.  Seorang ibu yang sanggup menumpangkan kasihnya buat hati Zani yang sering kegersangan akan kasih ibu.  Tidak sampai hati Zani melukakan hatinya ibu.  Terhinggut-hinggut bahu Ezan kerana menangis.  Pilu hatinya.  Hiba tak terkata.
Ezani berkali-kali mengingatkan dirinya dirinya akan hakikat nan satu itu.  Fakrul tidak akan dapat menerimanya sebagai seorang isteri.  Jeritan Fakrul semalam masih lagi terngiang-ngiang di telinganya.  Oleh itu, dia harus sedar diri dan tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap Fakrul dan perkahwinan ini.  Bimbang dirinya akan merana sendiri di kemudian hari.  Juga dirinya harus bersedia untuk menyandang gelaran janda kerana dia tahu adalah bukan mudah untuk menjalankan tugas dan kewajipan yang tergalas di bahu seandainya tiada kerelaan di hati.  Ezani jelas akan hal ini.  Perlahan-lahan hatinya pasrah.
“Zani, kau dah bangun ke nak?” terdengar panggilan Mak Cik Limah di muka pintu.  Perlahan-lahan Ezani cuba bangkit dari katil untuk membukakan pintu.  Dia sedikit menyeringai apabila sakit pada lukanya seakan bertambah apabila dia melakukan pergerakan.
“Dah mak cik.  Sekejap ya Zani bukakan pintunya,” jawab Ezani. 
Ezani cuba menggagahkan diri.  Namun rasa perit itu semakin menyucuk dan menyebabkan dirinya hampir menangis.  Belum sempat Ezani mencuba sekali lagi untuk berdiri, pintu bilik sudahpun terkuak.
“Ya Allah, kesiannya anak mak ni.  Apa yang kau buat semalam nak sampai begini jadinya?  Sedih hati mak tengok anak mak jadi pengantin dalam keadaan macam ni,” ucap Mak Cik Limah.  Diusapnya lembut rambut Ezani dengan penuh kasih sayang.
Tersentuh hati Ezani tatkala Mak Cik Limah membahasakan dirinya mak sebentar tadi. Terasa seperti ibunya sendiri yang sedang berdiri di hadapannya kini.
“Mak cik...” getus Ezani.  Ada air jernih yang mengalir lesu dari tubir matanya.
“Mak, nak.  Bukan mak cik tetapi mak.”  Mak Cik Limah memperbetulkan sebutan Ezani.  Sesungguhnya dia mahu Ezani tahu bahawa dirinya menyayangi gadis itu sebagai anaknya sendiri.  Bukan hanya sebagai menantu.
“Mak...” Ezani menyebut perlahan.  Sudah sekian lama bibirnya itu tidak menyebut kalimah itu.  Mak.  Satu perkataan yang sangat berharga bagi dirinya.  Sungguh dia rindu untuk menyebutnya lagi.
“Mak...” panggil Ezani lagi.  Sungguh hatinya bagaikan tidak puas.  Air mata yang mengalir lesu tadi semakin menderu laju apabila Mak Cik Limah memeluk erat dirinya.
Pelukan mereka terlerai sebaik sahaja terdengar bunyi ketukan.  Serentak mereka berpaling ke arah pintu.  Tanpa menunggu kebenaran untuk membuka pintu, Fakrul terus menjengulkan mukanya.  Apabila tersedar bahawa dirinya masih berpakaian tidur dan tidak bertudung, Ezani cepat-cepat menarik selimut dan menyelimutkan badan dan kepalanya untuk melindungi daripada pandangan Fakrul.  Fakrul bukan mahramnya.
Fakrul yang melihat telatah Ezani yang agak kelam kabut itu berasa seperti ingin ketawa tetapi ditahannya jua.  Dia berfikir sendiri.  Untuk apalah Ezani bertindak seperti itu sedangkan tidak sampai beberapa jam sahaja lagi dia bakal menjadi miliknya.  Tiada batasan aurat antara mereka.  Tambahan pula, mahkota indah Ezani itu telahpun dilihatnya malam tadi ketika dia menanggalkan tudung kepala Ezani.  Cuma dia belum berpeluang untuk membelai rambut yang indah itu.  Tak mengapalah.  Sekarang Ezani bukan lagi miliknya.  Lambat-laun detik itu akan tiba jua.  Getus hati Fakrul.  Senyuman nakal pula terbit di bibirnya.
“Hah, ada apa kau datang ke sini Ayul?  Kau mana boleh datang sini.  Ini bilik anak dara tau,” tegur Mak Cik Limah kepada anaknya.
Sudah diketuknya pintu tetapi tidak pula bercakap.  Hanya merenung Ezani sahaja matanya.  Lucu pula rasanya apabila melihat Ezani yang berselubung seperi orang Eskimo ini.  Mak Cik Limah pula ketawa dalam hatinya.  Senyuman nipis terukur di bibir tuanya.
Demi melihatkan renungan anaknya terhadap Ezani itu benar-benar menggembirakan hatinya.  Dia yakin itu adalah petanda baik bagi kedua anaknya ini.  Moga segalanya akan dipermudahkan oleh yang Maha Esa.
“Eleh!  Anak dara apanya mak.  Sekejap aje lagi dah nak jadi bini Ayul,” balas Fakrul selamba sambil mempamirkan sengihan yang panjang.
Serta-merta Ezani memalingkan wajahnya.  Tidak sanggup rasanya untuk mendengar kata-kata itu.  Seperti tidak dapat diterima dek akalnya.  Sedangkan kata-kata Fakrul jelas menyatakan bahawa dia tidak akan dapat menerima dirinya sebagai suri hati.  Kini hatinya bagai tidak sanggup lagi untuk meneruskan semua ini.  Tetapi sebaik sahaja matanya singgah ke wajah Mak Cik Limah yang sudah mula ceria itu telah mencairkan rasa itu.  Tidak mungkin dirinya sanggup mengecewakan insan yang sudah banyak menabur bakti terhadap dirinya ini.
“Tak ada apalah mak.  Ayul Cuma nak cakap yang kita tak payah buat majlis sandinglah hari ni ya mak.  Nanti-nantilah kita buat.  Lagipun Zani masih belum betul-betul sihat,” sambung Fakrul lagi terhadap ibunya.  Wajah Mak Cik Limah dan Ezani dipandang secara berselang seli.  Cuba menyaksikan reaksi keduanya.
“Terpulang kepada kaulah nak.  Mak ikut saja mana yang kau fikirkan baik,” jawab Mak Cik Limah ringkas sebelum dia menoleh kepada Ezani.
“Apa pendapat Zani?  Ini majlis kau jugak,” tanya Mak Cik Limah.
“Zani tak kisah mak.  Lagipun ini bukan majlis Zani.  Zani hanya pengganti sahaja.  Zani ikut...”
“Okey,” balas Fakrul sebelum sempat Ezani menghabiskan kata-katanya.
Dan balasan Fakrul itu benar-benar menjerut tangkai hatinya.  Terasa begitu kerdil dirinya ini.  Langsung bagai tiada harga.
“Nak, kenapa cakap macam tu sayang?” tegur Mak Cik Limah kepada Ezani.  Entahlah.  Mak Cik Lima sendiri bingung untuk memahami perasaan Ezani yang duduk di hadapannya ini.
“Zani... Zani... err... Bukan niat Zani... err.. Zani...” Ezani sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada Mak Cik Limah akan rasa hatinya.   Ezani sedar.  Fakrul memang tidak merestui perkahwinan ini.  Atas dasar itulah Fakrul membatalkan upacara persandingan yang dijadualkan berlangsung pada petang ini.  Mungkin jika Nina yang berada ditempatnya kini Fakrul sudah pasti akan tidak sabar-sabar lagi untuk bernikah dan bersanding.  Malangnya bukan Nina yang berada di sini.  Yang ada hanyalah dirinya.
“Zani tak mahu teruskan perkahwinan inikah?” tanya Mak Cik Limah lembut.  Sungguhpun dirinya risau andai itu yang berlaku namun rasa hati gadis di hadapannya ini tidak boleh dipandang enteng.  Dirinya sangat menyayangi Ezani.  Mana mungkin dia akan memaksa Ezani untuk berkahwin dengan anaknya andai gadis itu tidak rela.  Dirinya pasrah ke hadrat Ilahi andai itu suratan-Nya.
Ezani hanya membatu.  Tidak menjawab walau sepatah.  Mungkin dia juga terpana seketika dengan pertanyaan Mak Cik Limah yang tiba-tiba itu.
“Zani nak batalkan ke?” Mak Cik Limah mengulang kembali pertanyaannya.  Ada terselit debar di hati tuanya.
Setelah berfikir sejenak akhirnya Ezani menggeleng. 
“Kita teruskan sahaja perkahwinan ini mak,” balas Ezani ringkas.
“Alhamdulillah.”  Akhirnya kalimah syukur itu terbit dari bibir Mak Cik Halimah.  “Kalau begitu Zani berehatlah ya nak.  Sekejap lagi Mak Uteh akan masuk hantarkan sarapan.  Zani jangan keluar.  Luka Zani tu belum benar-benar kering.  Lepas makan nanti, makan ubat.  Nanti bila mak andam dah sampai baru Zani bersiap,” nasihat Mak Cik Limah sekaligus memberitahu jadualnya pada hari ini. 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?