Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Wednesday, October 13, 2010

Bahagian 7


EZANI memakir keretanya agak jauh daripada rumah Mak Cik Limah kerana di bahagian hadapan rumah telah pun didirikan beberapa buah khemah sempena majlis perkahwinan esok.  Ezani menarik nafas dalam.  Cuba untuk menenangkan debaran serta rasa kurang enak yang bertandang dalam jiwanya.  Dari kejauhan dia dapat melihat Abang Khairuddin yang rancak berbual bersama-sama bapa saudara serta jiran tetangga yang sudi bergotong-royong untuk membuat persediaan majlis esok. 
Berkepul-kepul asap rokok terlepas ke ruang udara setiap kali mereka membuka mulut untuk mengeluarkan bicara.  Mungkin segala persediaan sudahpun sempurna.  Maka mereka pun mengambil peluang untuk berbual serta bertanyakan khabar sahabat serta sanak saudara yang sudah sekian lama tidak bertemu.  Hanya sewaktu majlis-majlis sebeginilah mereka dapat bersua muka memandangkan pada waktu-waktu yang lain masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
            Perlahan Ezani membuka langkahnya.  Walau kakinya terasa seperti telah terpasung ke bumi.  Bacaan bismillah mengiringi setiap langkah perlahannya.  Harapnya Allah akan memberkati serta merahmati permulaan perjalanan menuju episod baru dalam hidupnya yang bakal menjelma esok.
            “Dah balik Zani?  Zani menghilang ke mana tadi sampai malam-malam begini baru pulang?” tegur Abang Khairuddin sewaktu Ezani melintasi kelompok kaum adam yang sedang asyik bersembang tadi.
            Ezani menundukkan wajah sebaik sahaja mendengar teguran Abang Kharuddin itu.
            “Mak risau sangat tadi.  Dia bimbang kalau ada apa-apa yang terjadi pada Zani sebab katanya dia contact handphone Zani tak berjawab,” tambah Abang Khairuddin lagi. 
Kata-kata itu benar-benar telah memalitkan rasa bersalah pada hati Ezani.  Sesal kerana dia telah menyebabkan hati tua itu runsing.  Bersalah kerana dia terlalu mengikutkan rasa hatinya sehingga sanggup mengabaikan setiap panggilan serta mesej pesanan ringkas yang dihantar kepadanya.  Setidak-tidaknya dia boleh untuk menghantar pesanan bahawa dia selamat dan hanya ingin bersendiri buat seketika.  Ah! Itulah akibatnya apabila emosi sudah menguasai diri.
“Maaf bang.  Zani cuma nak mencari ketenangan diri,” ucap Ezani perlahan.  Kepalanya pula masih lagi ditundukkan.  Tidak berani untuk menatap wajah lelaki yang cukup dihormatinya ini.  Dia tidak berani bukan kerana wajah itu bengis.  Tetapi, rasa bersalah yang masih lagi membaluti hatinya telah membuatkan dirinya tidak betah untuk bertentangan dengan wajah itu. 
Abang Khairuddin merenung lembut wajah Ezani dengan penuh kasih sayang.  Senyuman kecil juga diselitkan di bibirnya menandakan tiada sedikit pun rasa marah yang singgah di hatinya.  Yang ada cumalah rasa risau yang menggunung apabila gadis kecil molek ini tidak dapat dihubungi oleh mereka seja lewat petang tadi.
“Tak mengapalah.  Abang bukannya marah.  Abang cuma nak tahu aje.  Lagipun, Zani pun dah pulang.  Tak ada apa lagi yang perlu dirisaukan,” kata Abang Khairuddin sambil menepuk lembut bahu Ezani beberapa kali. 
“Pergilah masuk.  Bersihkan diri dan rehat.  Mungkin malam nanti Mak Uda akan pakaikan Zani inai dan melakukan beberapa persediaan lain.”
Ezani mengangguk perlahan.  Sejurus kemudian, dia melangkah perlahan untuk masuk ke dalam rumah.  Namun entah mengapa, hayunan langkah kakinya terpesong sendiri lalu menuju ke arah buaian yang terletak belakang rumah.  Niat hatinya dia ingin untuk bersendirian di buaian itu untuk sekejapan waktu lagi.  Sebelum dirinya bakal bergelar seorang isteri.  Setibanya waktu itu nanti, segala-galanya perlu dikongsi bersama seorang lelaki yang bergelar suami.  Seorang suami yang belum tentu lagi akan menerima dirinya sebagai suri hatinya.
Langkah kaki Ezani terhenti sebaik sahaja telinganya menangkap dua suara yang saling bertingkah dari arah buaian yang tidak jauh daripada tempatnya berdiri.  Sungguh jelas suara itu.  Dan Ezani cukup kenal dengan kedua-dua suara itu.  Suara Mak Cik Limah dan Fakrul.  Ezani berpaling untuk kembali ke biliknya.  Dia tidak berhajat untuk mendengar butir bicara kedua anak beranak itu.  Tetapi hayunan langkah kakinya terhenti sekali lagi sebaik sahaja dia mendengar namanya terselit dalam bait-bait bicara mereka.  Pantas dia mengambil tempat yang agak tersembunyi untuk terus mendengar perbualan mereka.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?