Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Saturday, October 16, 2010

Bahagian 10

BUNYI seretan tayar bingit sebaik sahaja brek ditekan secara mengejut.  Tujahan inersia pula telah menyebabkan dahi Ezani nyaris-nyaris tercium dashboard kereta.  Mujur sahaja gadis itu memakai tali pinggang keledar.  Ezani menjeling geram ke arah Fakrul.
            “Ayul ni kenapa?”
            Namun Fakrul tetap tidak mempedulikan kemarahan gadis itu.  Dia keluar daripada kereta dan terus sahaja menuju ke pintu sebelah Ezani.  Pintu tersebut dibukanya.  Ezani pula menjadi cuak sebaik sahaja melihat Fakrul yang tercegat di sebelahnya.  Hah, kenapa pula ni?  Apa lagi yang tidak kena?  Ezani menjadi terpukau seketika apabila melihat Fakrul tunduk dan meleraikan ikatan tali pinggang keledarnya.  Dan rasa terpukau itu berganti dengan rasa tergamam sebaik sahaja dirinya tiba-tiba terlambung ke atas.  Seterusnya dia kembali dalam kehangatan sementara yang pernah dirasakannya tadi.
            Fakrul terus melangkah menuju ke Klinik Ammar.  Memandangkan pada waktu tersebut tidak terdapat pesakit yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan maka Fakrul terus membawa Ezani masuk ke bilik rawatan.
            “Am, cuba kau tengokkan si Zani ni,” kata Fakrul kepada Dr. Ammar sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke bilik rawatan itu.
            Dr. Ammar kelihatan agak tersentak apabila melihat sahabatnya itu muncul secara tiba-tiba bersama seorang gadis dalam dukungannya.
            Fakrul meletak Ezani perlahan di kerusi pesakit.  Kemudian barulah dia perasan renungan pelik sahabatnya itu.  “Kau kenapa, Am?” tanya Fakrul.  Aneh.
            “Bukan aku.  Patutnya aku yang tanya kau, kau ni kenapa?  Datang klinik aku tiba-tiba.  Tak ketuk pintu, tak ada bagi salam.  Main redah macam ni je.  Entah-entah, daftar pun kau tak buat rasanya,” sempat juga Dr. Ammar membebel pada sahabatnya itu.  Bukan apa, dia agak kurang senang apabila bilik rawatannya itu diterjah masuk sebegitu rupa tanpa amaran.  Mujur sahaja dia tidak ada pesakit pada waktu itu.
            “Maaflah.  Aku tengok tak ada orang kat luar tadi.  Itu yang aku terus masuk je,” balas Fakrul pula.  Terkeseng-keseng dia seketika akibat ditegur tadi. 
            “Erm, tak mengapalah.  Cumanya lain kali jangan pulak kau buat lagi,” tegur Dr. Ammar dalam lembut.  Kemudian tumpuan Dr. Ammar beralih pada Ezani yang sedang duduk di hadapannya.  Sempat dia melihat tangan kiri Ezani yang sedang menggenggam pergelangan tangan kanannya.  Tangan kanan Ezani diangkatnya perlahan dan diletakkan di atas meja.  Dr. Ammar meneliti seketika keadaan luka di tapak tangan Ezani itu.
            “Kenapa ni?” tanya Dr. Ammar.
            “Jatuh”
            “Di mana?” tanya Dr. Ammar lagi.
            Ezani serba salah untuk menjawab pertanyaan Dr. Ammar itu.  Dia tahu, pada waktu ini bukan sahaja Dr. Ammar yang sedang menantikan jawapan daripadanya.  Malah juga oleh lelaki yang sedang duduk di sebelahnya kini.  Dapat Ezani rasakan renungan tajam lelaki itu tepat memanah wajahnya sungguhpun dia mencuri lihat hanya melalui kerlingan matanya.
            Berkerut-kerut wajah Ezani menahan rasa sakit apabila Dr. Ammar menekan-nekan lembut tapak tangannya.  Fakrul juga turut ngilu apabila melihat darah yang mengalir daripada luka itu.  Ditambah pula dengan rintihan halus Ezani.  Ngeri pula rasa hatinya.
            “Tak mengapalah.  Cuma masih ada sisa kaca dalam tapak tangan ni.  Lukanya agak dalam.  Rasanya perlu dua tiga jahitan.  Ada lagi luka-luka di tempat lain?”
            “Ada,” sampuk Fakrul secara tiba-tiba.  “Cuba kau tengok lutut dia tu, aku rasa teruk jugak lukanya.  Entah apa yang dibuatnya aku pun tak tahu sampai teruk begini lukanya,” sempat pula Fakrul membebel pada sahabatnya mengenai sikap Ezani itu.  Ezani pula hanya menarik muka.  Tidak suka dengan perbuatan Fakrul yang seolah-olah cuba untuk memalukan dirinya.
            “Oh, ye ke?  Mari sini saya tengokkan,” ucap Dr. Ammar seraya dia menyelak kain baju kurung Ezani ke paras lutut.  Dia meneliti seketika luka itu. 
            “Nampaknya luka ini pun perlukan jahitan.  Tak mengapa, Zani baring dulu kat sana, ya,” terang Dr. Ammar sambil dia menunjuk ke arah katil rawatan yang berada di sudut bilik rawatan tersebut.
            “Tak mengapa. Biar aku saja yang angkat dia ke sana,” ucap Fakrul tiba-tiba.  Belum sempat Ezani memberikan respon, dia sudah pun berada di atas katil rawatan tersebut.  Dr. Ammar hanya tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu.  Sungguhpun begitu, dia tidak mahu memberikan sebarang komen.  Masanya tidak sesuai.  Mungkin satu hari nanti dia akan cuba mengorek rahsia di sebalik tindak balas aneh sahabatnya itu.  Sungguh dia tidak pernah melihat Fakrul kalut sebegitu.
            “Okeylah Ayul.  Jahit ni ambil masa sikit.  Apa kata kau duduk kat sana dulu,” saran Dr. Ammar kepada Fakrul sebelum dia bertindak memanggil jururawat yang bertugas pada malam itu untuk membantunya.
            “Tak apa, Am.  Aku nak tunggu dan tengok di sini.  Kau rawat saja dia.  Lama mana pun aku tak kisah.  Asalkan dia selamat,” sanggah Fakrul pula.  Sekali lagi Dr. Ammar tersenyum melihat telatah sahabatnya itu.  Bukan maksudnya untuk menghalau.  Cumanya dia risau Fakrul akan berasa tidak selesa apabila melihat dia sedang menjahit luka Ezani itu.  Bukan semua orang mampu melihat benda-benda sebegitu.  Tetapi sekiranya Fakrul sendiri telah bertegas untuk duduk dan melihat di situ apakan dayanya. 
Dr. Ammar meneruskan rawatannya terhadap Ezani tanpa mempedulikan Fakrul yang berada di situ.  Cuma ada sesekali dia menjeling pada genggaman erat Fakrul pada tangan Ezani.  Dan acap kali juga dia mendengar lelaki itu mengucapkan ‘tahan sikit ya, Zani’ pada gadis itu apabila gadis itu seakan-akan tidak mampu lagi menahan rasa perit yang menular.  Dr. Ammar akhirnya tersenyum lagi.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?