Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Friday, July 30, 2010

Bahagian 4


EZANI mengerling pada telefon bimbitnya yang sedari tadi tidak henti-henti berdering.  Sekejap-sekejap tertera nombor telefon rumah Mak Cik Limah.  Kemudian berganti pula dengan nombor telefon bimbit Fakrul dan beberapa nombor lain yang tidak dikenalinya.  Namun tiada satu panggilan pun yang dijawabnya.  Ezani mahu sendiri.  Dia tidak mahu diganggu.  Walau bagaimanapun Ezani sedar, mungkin Mak Cik Limah sekeluarga bimbang apabila hari sudahpun mulai kelam namun dia masih belum pulang.  Mungkin juga mereka bimbang dia juga akan melarikan diri seperti Nina. 
Ah! Itu tidak mungkin.  Tidak tergamak hatinya untuk melukai hati seorang ibu tua yang sekian lama menabur kasih padanya sejak kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.  Malah masih diingatinya lagi detik-detik dia bersedih seorang diri semasa hari Konvokesyennya di UTM dahulu.  Ibu tua itulah yang menjemputnya untuk sama-sama meraikan kejayaannya bersama-sama dengan mereka sekeluarga.  Masih diingati jambangan bunga yang dihadiahkan oleh Kak Marshitah dan Abang Khairuddin sempena hari bersejarah itu.  Tidak dilupakan juga raut wajah Fakrul yang tersenyum cemburu apabila kakak dan abangnya menghadiahkan jambangan bunga kepada dirinya.  Sedangkan Fakrul pula hanya dihadiahkan sebatang lolipop yang diikat pada beruang kecil.  Gigi Fakrul mengetap geram sebaik sahaja melihat bibir ibunya mendarat lembut ke pipi mulusnya.  Ezani tersenyum sendirian.  Sungguhpun hatinya sayu namun dirinya masih lagi mampu tersenyum dan menghayati detik-detik manis itu.  Semuanya kerana kehadiran Mak Cik Limah sekeluarga.  Jasa baik keluarga itu tidak akan dilupakannya untuk selamanya.
Jeritan telefon bimbitnya telah kembali senyap.  Ezani menumpukan kembali pada pemanduannya.  Dalam masa yang sama dia juga turut berfikir ke mana hala tujunya selepas ini.  Hatinya masih enggan untuk pulang.  Dirinya masih lagi belum puas untuk bersendiri.  Bunyi keroncong dari perutnya telah menyedarkan Ezani bahawa dia masih lagi belum makan sejak tengah hari tadi.  Seingatnya, kali terakhir dia menjamah makanan adalah pada waktu pagi tadi.  Itu pun sekadar menjamah sekeping roti bersama segelas milo panas.  Seleranya hilang semenjak semalam.
Semasa berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan ke Jalan Tampoi, Ezani terpandangkan papan tanda yang tertulis ‘Plaza Angsana’.  Tiba-tiba dia kecur liur sebaik sahaja teringatkan mee rebus serta otak-otak Batu Pahat yang sangat terkenal di sana.  Terbayang-bayang kepekatan kuah mee rebus tersebut di ruangan matanya.  Aromanya yang begitu menggamit selera serta bunyi perutnya yang berkeroncong, betul-betul membuatkan dirinya seakan tidak sabar untuk menjamahnya.  Tekaknya pula bagai sudah dapat merasa keenakan otak-otak yang diperbuat daripada isi ikan segar yang digaul dengan rempah ratus sebelum ia dibakar.  Kemanisan isi ikan segar itu tidak dapat dinafikan.  Hati Ezani kini tidak sabar-sabar lagi.  Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, Ezani terus menekan pedal minyaknya dan terus memandu menuju ke Plaza Angsana.
Setelah berpusing-pusing hampir sepuluh minit barulah Ezani berjaya mendapat satu petak kosong untuk meletakkan keretanya.  Ezani berfikir-fikir sendiri mengenai punca tempat letak kereta di Plaza Angasana ini penuh pada hari ini sedangkan hari ini adalah hari bekerja.  Sejenak dia berfikir barulah dia tersedar.  Sekarang ini adalah musim cuti sekolah.  Oleh itu, sudah semestinya ramai ibu bapa mengambil peluang ini untuk membawa anak-anak untuk pergi berjalan-jalan serta menghabiskan masa bersama.  Tambahan pula kedudukan Plaza Angsana yang berada tidak jauh daripada Tambak Johor.  Ditambah pula dengan promosi serta diskaun potongan harga yang ditawarkan sempena cuti sekolah, sudah pasti mereka tidak mahu melepaskan peluang.
Ezani tidak bercadang untuk merayau-rayau dan membuang masa di dalam pusat membeli belah itu.  Kesesakan orang ramai yang mengunjungi pusat membeli belah itu telah menyebabkan Ezani berasa sedikit kurang selesa untuk terus berlama di situ.  Maka, daripada tempat meletak kereta dia terus menuju ke food court yang terletak di bahagian luar aras satu kompleks membeli belah itu.
Ruang makan yang terletak di aras satu Plaza Angsana itu agak sesak dengan orang ramai.  Ezani memanjangkan lehernya untuk mencari kalau-kalau ada tempat kosong yang boleh didudukinya.  Nasibnya agak baik apabila tidak lama kemudian apabila sepasang suami isteri bersama dua anak mereka bangun meninggalkan tempat duduk mereka.  Tanpa berlengah lagi Ezani terus membuka langkah menuju ke meja tersebut. 
“Opss! Awak pun nak duduk di sini ke?” ucap satu suara yang tidak dikenali setibanya di meja kosong tadi. 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?