Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Wednesday, July 28, 2010

Bahagian 3


RUMAH teres dua tingkat itu kembali meriah.  Kanak-kanak riuh bermain sambil berlari-lari.  Ada yang berkejar-kejar dan ada juga yang sibuk bermain sembunyi-sembunyi.  Kaum ibu pula rancak bercerita sambil mengopek bawang dan menyiang sayur untuk majlis kenduri esok.  Masing-masing berwajah ceria seolah-olah kejadian yang mendebarkan semalam tidak pernah berlaku.  Di bahagian luar rumah, kaum adam sedang sibuk mendirikan khemah serta menyusun kerusi meja.  Ada yang sedang menghampar alas meja dan ada juga yang bertugas menjaga rebusan telur di dalam kawah.  Masing-masing berwajah ceria dan gembira sungguhpun keringat mula merintik di dahi mereka tatkala bekerja di bawah rembang matahari terpacak tinggi di atas kepala.
            Mak cik Limah bersama beberapa orang wanita lagi sedang sibuk menghias pelamin.  Marshitah, kakak kepada Fakrul yang baru tiba malam tadi pula membantu ibunya untuk mencucuk bunga telur pada paharnya.  Sepuluh pokok semuanya.  Dia membelek-belek bunga pahar yang berada di hadapannya.  Setelah puas dengan hasil kerjanya barulah dia beralih ke pahar yang satu lagi.
            Di dalam bilik Ezani menggelisah sendiri.  Direnungnya setiap penjuru bilik yang berhias cantik ini.  Bau haruman bunga rampai benar-benar mengganggu ketenangan hatinya.  Bau yang sepatutnya menimbulkan rasa indah di jiwa dirasakannya bagai terlalu menusuk rongga hidungnya.  Hati Ezani semakin gelisah.  Di hadapannya pula telah bersusun indah dulang-dulang hantaran yang bertemakan warna merah jambu.  Dikiranya satu per satu dalam hati.  Sembilan buah dulang semuanya.  Dari jarak satu kaki, ditiliknya setiap barangan yang telah digubah cantik.  Ada sepasang kasut dan beg tangan kulit berjenama Carlo Rino.  Kasut dan beg tangan tersebut berwarna putih.  Warna kegemaran Nina.  Di sebelah dulang kasut dan beg tangan itu pula terletak elok sebuah telefon bimbit Samsung i900 OMNIA 8gb FMG yang berharga dua ribu lebih, yang juga merupakan telefon bimbit impian Nina.  Satu set pewangi, sirih junjung, bunga rampai berserta bekas untuk meletakkan cincin yang bertatahkan berlian, telekung, sepasang kain sutera, senaskah Al-Quran dan satu raga buah-buahan.  Cukup lengkap dan mewah.  Esok semua barangan ini akan diserahkan kepadanya.  Akan menjadi miliknya.  Namun sayang, kesemua barangan ini akan terbazir begitu saja.  Ini kerana barangan ini bukanlah hak mutlak dirinya.  Yang empunyanya adalah Nina.  Entah berapa lama Fakrul berkerja keras untuk menyediakan segala kelengkapan mewah ini.  Niat hati nuraninya untuk dihadiahkan kepada insan tercinta.  Atas sebab itu Ezani tidak tergamak menggunakan barangan yang bakal diserahkan kepadanya esok.  Sekiranya dia menggunakannya maka ia sama seperti dia telah mengkhianati usaha dan rasa hati Fakrul selama ini.  Tambahan pula Ezani sedar, wujudnya hari ini adalah hanya untuk menyelamatkan maruah Fakrul sekeluarga daripada ditimpa aib.  Oleh itu, selayaknya dia tidak menyimpan harapan yang menggunung pada majlis pernikahan mereka esok yang dikira sebagai lakonan semata olehnya.  Hatinya tiba-tiba dipalit sayu.  Berbaloikah pengorbananku ini?  Atau, aku akan menyesalinya di kemudian hari?
            Ezani sudah semakin tidak tega untuk berlama di dalam bilik ini.  Dia harus keluar.  Dia harus meninggalkan seketika bilik ini dengan segera.  Pergi mencari suatu tempat yang mampu menenangkan hatinya yang gundah-gulana ini.  Ezani nekad.  Dia perlu pergi dari sini walaupun hanya untuk seketika.  Kocakan hatinya perlu ditenangkan semula.
            “Zani nak ke mana, nak?” soal Mak Cik Limah sebaik sahaja Ezani menyuarakan hasratnya untuk keluar daripada rumah itu buat seketika.  Ezani sedar.  Ada rasa bimbang yang bermukim di hati wanita tua yang berada di hadapannya kini.  Mungkin wanita tua itu khuatir Ezani juga akan melarikan diri sama seperti yang telah dilakukan oleh Nina.  Puas juga Ezani memujuk.  Dan akhirnya barulah Mak Cik Limah bersetuju untuk membenarkan Ezani keluar seorang diri.
            Mak Cik Limah sedar.  Mungkin hati Ezani tidak tenteram.  Mungkin Ezani perlu berseorangan buat seketika demi meredakan segala macam rasa yang bermain-main dalam jiwanya.  Hati tuanya diketuk rasa bersalah.  Ada rasa sayu dan ada juga rasa pilu.  Namun apakan dayanya, dia tidak punya ikhtiar lain demi menyelamatkan maruah keluarganya.  Sesekali terdetik juga di hatinya rasa syukur atas kejadian yang menimpa.  Setidak-tidaknya dia kini berpeluang untuk bermenantukan Ezani.  Sudah sekian lama dia berhajatkan sedemikian.  Tetapi hajatnya itu terpaksa dipendamkan sendirian apabila melihat Fakrul, anak lelakinya itu terlalu asyik dalam cinta Nina.  Hanyut dalam lautan asmara yang tidak bertepian.
            Berhajatkan Ezani untuk dibuat menantu bukanlah satu alasan untuk dia menolak Nina.  Hal ini kerana perkara yang lebih dipentingkan olehnya adalah kebahagiaan anak lelakinya itu.  Sungguhpun hati tuanya agak kurang berkenan dengan cara pemakaian Nina yang agak terdedah dan kadangkala menjolok mata.  Tetapi itu semua bukanlah alasan.

EZANI memakirkan keretanya di kawasan tempat letak kereta yang telah disediakan.  Perlahan-lahan langkah kakinya dihayun menuju ke persisiran pantai.  Lokasi yang menjadi pilihannya adalah jeti kapal persiaran milik pengusaha kawasan persiaran Teluk Danga itu.  Kawasannya yang berbatu dan berpasir yang berada tidak jauh dari premis jualan makanan yang berada di situ.  Sengaja dia memilih untuk duduk dan menenangkan hatinya di situ.  Sandal Asadi yang tersarung di kakinya ditanggalkan dan dibiarkan bergayutan di tangan kanannya.  Dia ingin kakinya menjamah struktur pasir yang agak kasar di situ.  Tusukan batu-batu yang tidak begitu halus itu ibarat urutan refleksiologi pada tapak kakinya.  Diharapkan agar urutan semulajadi itu dapat membantunya untuk menjadi lebih tenang.
            Ezani melabuhkan punggungnya pada salah satu batu besar yang terdapat di situ.  Kakinya pula dibiarkan terjuntai sehingga mampu mencecah pada deburan ombak yang tidak putus-putus menghempas pantai.  Sungguhpun ombak di kawasan Teluk Danga ini tidaklah besar, namun bunyian ombak itu betul-betul membuai hatinya.  Hingga dia mampu melupakan setiap kekalutan yang begitu mengasak jiwanya.  Hembusan bayu laut yang bertiup lembut seakan-akan telah menerbangkan kesaratan yang membelenggu benaknya.
            Pandangan matanya dibiarkan lepas jauh ke tengah lautan.  Dari kejauhan dia dapat melihat sebuah kapal persiaran yang sedang bergerak perlahan membelah lautan yang luas terbentang.  Mungkin kapal itu sedang menuju ke perairan negara jiran.  Ezani membuat telahan rambangnya sendiri.  Namun, Ezani tahu kapal persiaran itu akhirnya akan berlabuh tidak jauh daripada jeti ini.  Ini kerana, pada sebelah malamnya, kapal persiaran itu menawarkan perkhidmatan makan malam di atas kapal kepada para pengunjung.  Tetapi disebabkan kosnya agak tinggi maka tidak semua orang mampu menikmatinya. 
            Ezani bungkam seorang diri.  Dia terus asyik memerhatikan kapal persiaran tadi itu.  Sedikit demi sedikit kapal persiaran itu semakin hilang rupa dan bentuknya sebelum ia berubah menjadi satu titik halus sebelum menghilang.  Laungan azan dari masjid berdekatan telah menyedarkan Ezani bahawa hari telah senja.  Maghrib juga sudah menjelma.  Ada tanggungjawab lain yang perlu diselesaikannya.  Tanggungjawab untuk menyahut seruan azan yang mengingatkan seluruh umat manusia untuk pergi menghambakan diri pada Khaliknya.  Ezani bangkit lalu menuju semula ke keretanya untuk mengambil telekung yang sentiasa dibawanya ke mana sahaja sebagai persediaan di saat dia memerlukannya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?