Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Friday, October 15, 2010

Bahagian 9

RASA pilu yang semakin kuat mengasak dada menyebabkan Ezani tidak lagi betah untuk berlama di situ.  Kali ini hatinya memaksa akalnya supaya beralah.  Bimbang hatinya yang sedih menjadi parah.  Bimbang juga rasa jauh hati yang mula bertapak di dalam diri bakal menerbitkan rasa benci terhadap Fakrul.  Tidak! Itu semua tidak boleh berlaku.  Lelaki itu tidak bersalah.  Dia tidak harus dipersalahkan oleh sesuatu yang ternyata bukan salahnya.  Mereka berdua adalah mangsa.  Mangsa kepada percaturan takdir yang tidak diketahui hujung pangkalnya.  Ezani mengelap pipinya kasar.
            Perlahan-lahan dia bangkit dari tempat persembunyiannya.  Kakinya yang kebas telah menyebabkan atur langkahnya menjadi tidak stabil.  Dalam kegelapan malam yang hanya diterangi sinaran bulan separa penuh, mata Ezani tidak perasan akan kewujudan getah paip yang bergulung di tengah-tengah laluannya.  Tiba-tiba kaki Ezani tersadung getah paip tadi dan dirinya jatuh tersungkur.
            “Auch!” Ezani mengetap bibir menahan rasa perit yang mula menjalar pada tapak tangan serta lututnya.  Mujur sahaja jeritannya tadi tidak begitu kuat.  Jika tidak, sudah pasti Fakrul dan Mak Cik Limah akan menyedari akan kehadirannya di sebalik tembok tadi.
            Ezani bangkit perlahan-lahan lalu melabuhkan punggungnya rapat ke dinding rumah.  Dalam kesamaran cahaya, Ezani cuba membelek tapak tangannya yang terasa pedih.  Hampir meleleh air matanya apabila melihat ada serpihan kaca yang terbenam dalam di celahan daging tapak tangannya.  Ezani meneguk liur.  Tangan kirinya cuba untuk menarik keluar serpihan kaca itu tetapi tidak jadi.  Hatinya berasa ngilu tatkala tangan kirinya menyentuh kaca tadi.  Ezani perasan, luka di tapak tangannya itu agak besar memandangkan darah yang tidak henti-henti mengalir keluar.
            Ezani tahu kaca itu perlu dicabut sebelum tangannya itu boleh dirawat.  Jika tidak, tangannya itu mungkin akan bernanah dan lukanya itu menjadi semakin parah.  Oleh itu, Ezani memejamkan matanya rapat.  Dengan menyebut lafaz bismillah, Ezani mencabut kaca tersebut dengan sekuat hati.  Hampir menjerit rasanya dia menahan rasa perit.  Setelah yakin bahawa kaca yang terbenam pada daging tapak tangannya tadi sudah dikeluarkan, barulah Ezani memberikan perhatian pada lututnya pula. 
Ezani menyelak kainnya yang sedikit berlubang di bahagian lutut itu, Ezani tidak dapat melihat lukanya itu dengan lebih jelas.  Yang pasti lututnya itu berdarah kerana terdapat beberapa tompokan darah yang lekat pada kain baju kurung yang dipakainya.  Ezani nekad, kecederaannya itu tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun.  Jika tidak, pasti Fakrul dan Mak Cik Limah akan dapat mengagak bahawa dirinya telah menelinga perbualan mereka tadi.  Dan Ezani yakin Fakrul pasti akan sangat marah jika dia mengetahuinya.
            Dengan langkah yang terjengket-jengket, Ezani masuk ke dalam rumah.  Sedaya upaya tangannya yang luka serta tompokan darah yang terlekat pada kain baju kurungnya disorok daripada pandangan mata semua yang berada di rumah Mak Cik Limah pada ketika ini.  Mata Ezani meliar ke sana dan ke mari.  Setelah dipastikan bahawa semua orang sedang asyik dengan aktiviti masing-masing, Ezani terus memanjangkan langkah untuk masuk ke bilik.  Cadangnya dia hendak merawat lukanya itu menggunakan iodin sahaja nanti. 
            “Kenapa terjenguk-jenguk macam pencuri tu, Zani?  Dah malam-malam begini baru balik,” tegur satu suara dari arah belakang.  Terus kaku langkah Ezani.  Badannya pula tegak berdiri dengan sebelah kakinya yang luka dibengkokkan.  Hatinya berdebar-debar.  Tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan Fakrul.  Sedangkan baru sekejapan tadi hatinya terguris secara tidak sengaja oleh lelaki itu. 
Ezani menarik nafas dalam.  Cuba menenangkan rasa hatinya yang gundah.  Bimbang andai ekspresi wajahnya nanti bakal mengundang syak wasangka Fakrul terhadap dirinya.  Dengan perlahan-lahan, Ezani berpusing ke belakang.  Namun entah mengapa wajahnya tidak berani diangkat.  Sungguhpun dalam keadaan menunduk begitu, Ezani tahu Fakrul sedang merenung tajam dirinya.  Mata bundar lelaki itu pasti tidak berkelip memerhatikan dirinya.  Menantikan jawapan pada soalan-soalannya tadi.
            “Ke mana tadi?” soal Fakrul lagi.  Nada suaranya agak tertahan-tahan.  Mungkin sedang menahan marah apabila pertanyaannya tadi seolah-olah tidak diendahkan oleh Ezani.
            “Tak ke mana,” ringkas Ezani membalas.  Namun raut wajahnya masih lagi ditundukkan.  Masih tidak berani membalas pandang insan yang sedang tegak berdiri di hadapannya kini.
            “Dah tu kenapa tak angkat call?  Kenapa tak balas mesej?” bertubi-tubi soalan dimuntahkan oleh Fakrul.
            “Saja.”  Terbeliak mata Fakrul demi mendengar jawapan dari Ezani itu.  Saja?  Tidakkah dia tahu betapa aku risau memikirkan keselamatannya tadi.  Boleh dia jawab saja.
            “Saja?” nampaknya tahap kesabaran Fakrul semakin menipis.  Dalam keadaan emosinya yang kurang stabil serta perlakuan Ezani yang seolah-olah tidak mengendahkannya, benar-benar menyebabkan darahnya mudah panas.  Dengan kasar Fakrul mendekati Ezani dan mencengkam kuat lengannya.
            “Aduh!” jerit Ezani.  Keperitan luka di tapak tangan serta di lututnya semakin terasa.  Ditambah pula dengan cengkaman kuat pada lengannya telah menyebabkan Ezani tidak mampu bertahan lagi.  Keperitan hatinya juga telah menyumbang kepada keperitan total yang sedang dihadapi olehnya kini.  Lalu air mata yang pernah mengalir tadi kembali berderai.
            “Zani, pandang Ayul!” arah Fakrul pada Ezani.  Dia menolak dagu Ezani supaya wajah mereka bertatapan.  Namun hatinya berubah kaget tatkala melihat wajah putih Ezani basah dengan linangan air mata.  Terkedu dia seketika.  Ada rasa halus yang menyusup masuk ke dalam jiwanya tatkala ini.
            “Kenapa ni?” lembut sahaja dia bersuara.  Jari kasarnya pula secara spontan mengelap lembut wajah syahdu itu.  Kenapa Ezani menangis?
            Suara serta usapan lembut di wajahnya telah menyebabkan Ezani hanyut seketika dalam mainan perasaannya.  Sungguhpun dalam kepiluan, hatinya sedikit bahagia apabila diperlakukan begitu oleh Fakrul.  Terasa seolah-olah Fakrul mengambil berat akan dirinya dan terasa bagai dihargai.
            “Kenapa?” ulang Fakrul lagi.
            Pertanyaan kali kedua itu telah menyedarkan Ezani dari terus hanyut dalam mainan perasaannya sendiri.  Lantas dia terus menepis tangan Fakrul yang masih lagi berada di wajahnya.  Fakrul tersentak.  Ezani memalingkan wajahnya dan terus membuka langkah untuk berlalu.
            “Zani, kenapa ni?  Cuba cakap dengan Ayul,” suara Fakrul seolah-olah sedang marah.  Tangannya pula mencapai kasar tangan Ezani.  Dan secara tidak sengaja Ezani melapaskan genggaman tangannya pada kain baju kurungnya.  Lalu tompokan darah pada kain yang cuba disoroknya tadi terserlah dengan nyata.  Buntang mata Fakrul melihatnya.
            “Ya Allah! Macam mana boleh kena ni?” soal Fakrul lagi.  Tergambar jelas bahawa hati lelaki itu kini sedang diserang cemas.  Wajahnya juga menunjukkan riak tidak keruan.
            Ezani masih lagi membatu.  Enggan membuka mulut menceritakan apa yang berlaku.  Kedegilan Ezani itu telah memuncakkan rasa marah Fakrul kembali.  Lantas ditariknya tangan kanan Ezani dan memaksa gadis itu supaya menurut langkah kakinya.  Mereka harus keluar.  Berdua.  Untuk berbincang mengenai mereka dan masa depan mereka.  Sungguhpun masa sudah terlalu suntuk, namun ianya harus dilakukan sebelum segalanya menjadi terlewat.  Memandangkan pada reaksi Ezani kini, Fakrul yakin yang mereka perlu berbincang.
            Namun langkah kaki Fakrul terhenti sebaik sahaja dia mendengar jeritan serta erangan halus Ezani.  Pantas dia menoleh.  Dia melihat Ezani terduduk dan menangis sambil memeluk lututnya.  Esakan halus Ezani itu benar-benar mengganggu hatinya.  Kenapa?
            Dengan perlahan Fakrul mendekati Ezani.  Dia duduk bertinggung di sebelah gadis itu.  Dengan penuh prihatin dia merenung.
            “Kenapa ni?” perlahan saja dia bertanya.  Sungguh emosinya bercampur-campur pada malam ini.  Marah, sedih, geram dan tertekan semuanya bersatu ibarat rojak.
            Ezani masih lagi membatu.  Tiada satu respon yang diberikannya.  Memandangkan kepada tahap kedegilan Ezani, Fakrul menjadi nekad.  Kedua-dua belah tangannya memegang lembut bahu Ezani dan perlahan menolak gadis itu duduk.  Kedua-dua belah kaki gadis itu diluruskannya.  Wajah Ezani yang menyeringai tidak diendahkannya.  Kemudian, dia memegang hujung kain baju kurung Ezani untuk menyelaknya.
            Fakrul perasan gadis itu seakan cuba membantah.  Namun sengaja dijegilkan matanya.  Memberitahu kepada gadis itu bahawa dirinya tidak peduli.  Jika diikutkan kerenah gadis itu, dia tidak akan mendapat sebarang jawapan.  Dia kenal sangat fiil gadis yang sedang berlunjur di hadapannya ini.  Jika Ezani sudah mula membisu, kepala batunya itu pasti tidak dapat dibayangkan lagi.  Degil!
            Ezani sedaya upaya cuba menghalang Fakrul dari terus menyelak kain baju kurung yang sedang tersarung di tubuhnya.  Selain daripada dia tidak mahu Fakrul tahu mengenai kecederaannya, Ezani juga malu sekiranya Fakrul dengan sewenang-wenangnya melihat bahagian tubuhnya.  Lagipun Fakrul masih belum berhak untuk melakukan begitu.
            Fakrul menepis tangan Ezani yang sedang menggenggam tangannya dengan kejap.  Fakrul nekad.  Kali ini dia tidak peduli.  Pantas dia menyelak kain gadis itu sehingga ke paras lutut.  Spontan mulutnya membentuk O. 
            “Masyaallah!  Apa yang berlaku ni?  Zani buat apa tadi?” terus dia mendongak.  Namun hanya air mata Ezani yang mengalir lesu yang menjadi habuan matanya.  Tiada sebarang jawapan atau ungkapan yang terluah dari bibir mungil itu.  Dan kebisuan serta air mata gadis itu benar-benar telah mencabar kembali tahap kesabarannya yang sudah sememangnya berada pada tahap yang minimum.  Nampaknya gadis itu tidak akan mengalah walaupun dirinya sudah cuba untuk berlembut.  Fakrul kembali geram.
            “Jom kita ke klinik!” tegas sahaja suara itu.  Tiada lagi nada mesra dan memujuk seperti sebelumnya.  Namun, di sebalik ketegasan itu masih lagi terkesan nada risau yang terselit dalam sanubari lelaki itu.
            Terpinga-pinga Ezani apabila tubuhnya secara tiba-tiba terlambung ke atas.  Hampir terkoma sebentar otaknya.  Lidahnya kelu.  Matanya tegak terpacak pada raut wajah yang berada pada jarak hanya beberapa inci daripada wajahnya.  Dapat dilihat dengan jelas kegundahan raut wajah itu.  Hati Ezani kembali dipalit sayu apabila tidak sekalipun mata lelaki itu jatuh ke wajahnya.
            “Amboi, awalnya main gendong-gendong!  Tak sabar tunggu esok ke?” kedengaran satu suara yang mengusik kedua bakal pengantin baru itu sebaik sahaja kaki Fakrul mencecah ke laman rumah.  Demi mendengarkan teguran itu, dengan serta merta Ezani melarikan pandangan matanya.  Wajahnya terasa hangat.  Malu untuk memandang sekeliling.  Melihat sanak saudara yang seakan begitu seronok menggiat mereka berdua.  Lalu dipejamkan matanya rapat-rapat.
            Tiada sepatah pun balasan kata yang dilafazkan oleh Fakrul.  Hanya wajah bekunya menjadi santapan mata kaum keluarga yang berada di situ.  Memandangkan pada raut wajah serius Fakrul, suara-suara tadi terus diam.  Tidak berani lagi untuk mengusik.  Sesungguhnya mereka faham pada krisis perasaan yang sedang dihadapi oleh dua anak muda ini.
            Fakrul terus melangkah gagah menuju ke kereta.  Ezani pula hanyut dalam kehangatan dakapan Fakrul yang sementara.  Namun segala perasaan hangat itu hilang sebaik sahaja Fakrul meletakkan Ezani di tempat duduk bersebelahan tempat duduk pemandu.  Pintu kereta di tutup perlahan.  Kemudian, Fakrul pula mengambil tempat duduknya.  Tidak lama kemudian kereta milik Fakrul menderu laju menuju ke klinik 24 jam berdekatan.
            Ezani terasa ingin bertanya kepada Fakrul mengenai hala tuju mereka.  Namun keinginannya itu dipendamkan setelah melihat wajah serius Fakrul.  Tambahan pula lelaki itu masih lagi membisu semenjak tadi.  Tidak ada sepatah ayat pun yang dituturkannya.  Hanya genggaman yang kuat pada stereng kereta telah memberi gambaran bahawa Fakrul kini sedang marah.  Sebenarnya bukan sahaja marah tetapi sangat marah.  Dan tahap kemarahan Fakrul itu telah memberi kesan kepada gaya pemanduannya yang agak kalut dan terkejar-kejar.  Ezani agak aneh memikirkan punca Fakrul semarah itu.  Tidak mungkin hanya disebabkan oleh dirinya diam membisu sebentar tadi.  Sebelum ini juga Ezani pernah bertindak begitu tetapi tidak pula mengundang marah Fakrul yang berlebihan seperti ini.
            “Yul, bawak tu perlahanlah sikit.  Bahayalah!” tegur Ezani apabila kereta yang sedang mereka naiki masih lagi meluncur laju sungguhpun mereka sedang melalui selekoh.  Mujur sahaja tiada kenderaan lain ketika itu.  Jika tidak, mungkin bencana lain yang bakal terjadi.
            Fakrul tidak mengendahkan teguran Ezani tadi.  Dia masih lagi membisu.
            Tiba-tiba terdetik sesuatu di hati Ezani.  Tahukah Fakrul bahawa dia menghendap perbualan mereka tadi?  Tak mungkin.  Tiada siapa yang sedar perbuatannya tadi.  Mungkin juga Fakrul bimbang perjalanan majlis esok bakal terjejas sekiranya dirinya cedera.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?