KINI hanya tinggal satu selekoh sahaja lagi sebelum Ezani tiba di rumah Mak Cik Limah, bakal ibu mertuanya. Entah mengapa hatinya yang sudah mulai tenang tadi kini kembali berdetak laju. Hatinya bagai tidak kuat untuk kembali menghadapi realiti hidupnya nanti. Namun, Ezani tahu. Dia harus kuat menghadapi semua ini. Dirinya masih lagi mengingati kata-kata Ustazah Aqilah sewaktu mengajarnya mengaji waktu kecil-kecil dahulu. Kata Ustazah Aqilah, setiap kejadian yang berlaku di muka bumi ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Cepat atau lambat hikmahnya akhirnya pasti akan muncul jua. Kita sebagai manusia tidak perlu mempersoalkan perjalanan takdir yang telah ditentukan oleh-Nya. Sama ada sewaktu menerima rezeki atau semasa ditimpa musibah. Segalanya mempunyai maksud yang tersendiri. Namun apa yang pasti, setiap kejadian itu bolehlah kita anggap sebagai kasih sayang daripada Allah. Dan, kita patut bersyukur dengan setiap ketentuan-Nya kerana hanya Dia yang lebih mengetahui segalanya. Segala yang baik dan buruk buat kita, hamba-Nya.
Atas dasar berpegang teguh pada nasihat dan pesanan Ustazah Aqilah itu, Ezani cuba untuk memujuk hatinya. Menguatkan hatinya agar tidak lagi berasa ragu-ragu dan curiga dengan takdir yang menimpa. Mungkin Allah melorong jalan hidupnya begini supaya dia dapat membalas jasa baik Mak Cik Limah sekeluarga yang sentiasa mengasihi dirinya. Atau, Allah sengaja hendak menguji ketabahan serta kesabaran dirinya. Sungguhpun begitu, walau sekuat manapun Ezani berusaha untuk menerima takdir ini dengan tabah, di hati kecilnya masih lagi terpalit satu rasa sedih dan kesal yang tidak mampu dihindarkannya. Rasa sedih dan kesal kerana Fakrul akan menikahinya esok dalam rasa yang terpaksa.
Tidak dapat dibayangkan rasa hati Fakrul esok. Sudah semestinya lelaki itu akan berasa sangat tertekan dan menderita. Masakan tidak. Kekasih hatinya pergi meninggalkan dirinya semata-mata untuk bersama insan lain. Dan, dalam masa yang sama dirinya pula terpaksa bernikah dengan insan lain yang selama ini tidak pernah terlintas dibenaknya untuk diambil sebagai isterinya.
Ezani memejamkan matanya. Cuba meredakan rasa pedih yang menjalar terus ke hatinya. Terasa seolah-olah ada belati tajam yang menusuk jauh ke lubuk hatinya tatkala memikirkan bahawa dirinyalah yang menjadi punca kepada penderitaan Fakrul itu nanti. Hanya Allah yang tahu betapa dirinya mencintai Fakrul. Betapa dirinya ini terlalu menyayangi lelaki itu. Tetapi kini tanpa dia sedari, dialah yang akan menjadi bebanan yang harus ditanggung oleh Fakrul esok. Sungguh hatinya tidak rela untuk menyaksikan semua ini. Namun apalah dayanya. Dirinya hanyalah seorang insan yang kerdil dan lemah. Antara maruah seorang ibu tua yang sentiasa mencurahkan kasih sayang buatnya dengan kebahagiaan insan tercinta yang selama ini langsung tidak menyedari akan rasa suci yang kian mekar dalam jiwanya. Ayul, maafkan Zani kerana terpaksa menghadiahkan duka ini buat dirimu.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?