Kembali Menemui Anda!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

E-novel Air Mata Hati kini kembali menemui anda dalam olahan kata yang berbeza. Semoga percubaan Lea pada kali ini dapat memuaskan hati anda semua. Salam kembali daripada Lea buat semua.

Yang ikhlas;
LeaQistina

Luahkan Hatimu

Tuesday, October 12, 2010

Bahagian 5


Ezani menoleh pada suara tersebut.  Kelihatan seorang lelaki yang memakai kemeja berbelang halus menegak sedang tersenyum kepadanya.
“Eh, ini tempat encikkah?” tanya Ezani pula.  Bimbang dia sekiranya tempat itu adalah milik lelaki yang berada di hadapannya kini.
“Bukan.  Saya pun baru aje nak duduk di sini,” balas lelaki itu pula.
“Oh ye ke?”
“Kalau cik tak kisah, apa kata kalau kita kongsi saja meja ini.  Lagipun meja lain semuanya dah penuh rasanya,” cadang lelaki itu lagi sebaik sahaja melihat reaksi Ezani yang sedikit kalut dan matanya meliar seolah-olah cuba untuk mencari tempat kosong yang lain.
“Erm, encik ni seorang sahajakah?” tanya Ezani lagi.  Bimbang juga hatinya untuk duduk berdua dengan sembarang lelaki.  Bukan apa, sudah banyak cerita yang didengar daripada rakan-rakannya mengenai punca keretakan sesebuah perhubungan itu bermula di sebabkan oleh salah faham.  Dan sekiranya dia menerima pelawaan lelaki ini untuk makan bersama mungkin akan membawa kepada risiko salah faham.  Bagi pihaknya mungkin tiada masalah kerana tiada insan yang sudi untuk mencemburui dirinya tetapi bagaimana pula dengan lelaki ini seandainya secara tidak sengaja kekasih, tunang atau isterinya terlihat mereka makan berdua.  Ezani tidak berani mencetuskan risiko itu.
“Ya,” jawab lelaki itu pula.  Kelihatan barisan giginya yang putih bersih sebaik sahaja dia melemparkan senyum.  Lesung pipit di pipi kirinya juga terserlah indah.
Lelaki ini suka tersenyum rupanya.  Ezani kembali membalas senyuman lelaki itu.
“Tidak mengapakah kalau saya turut duduk sama di sini?” Ezani cuba meminta kepastian.  Hatinya masih lagi bimbang.
“Jika tak boleh masakan saya mengajak,” ucap lelaki itu mesra sambil tersenyum lagi.  Ezani pula ketawa kecil mendengar seloroh lelaki itu.  Sedikit sebanyak hatinya yang rawan tadi sedikit ceria dengan telatah lelaki yang sedang berhadapan dengannya itu.
“Kalau begitu baiklah.  Saya bukan apa, bimbang kalau-kalau ada yang makan hati pula jika terlihat saya duduk berdua dengan encik...”
“Fazli.  Panggil saya Fazli,” pintas lelaki itu sebelum Ezani sempat menghabiskan ayatnya.
“Oh! Encik Fazli” kata Ezani sambil menganggukkan kepalanya.
“Cik pulak?” tanya lelaki itu kembali.  Senyuman masih lagi tidak lekang dari bibirnya.
“Saya Ezani,” Ezani memperkenalkan dirinya.
“Oh, okey.  Cik Ezani ni tidak mahu dudukkah?  Kalau tidak mahu, kita sama-sama berdiri sajalah,” ucap lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Fazli tadi dalam nada yang berseloroh. 
Ezani tersentak.  Barulah dia perasan bahawa mereka berdua masih lagi berdiri sejak dari tadi.  Ezani tersenyum nipis.  Pipinya pula agak bahang kerana malu.  Ketawa halus pula kedengaran dari celah bibir lelaki itu.
“Silalah duduk,” jemput Fazli pula.
Ezani pula hanya menganggukkan kepala sebelum melabuhkan punggungnya ke kerusi.  Encik Fazli pula mengambil tempat yang bertentangan secara bersilang dengan Ezani.  Mungkin lelaki itu juga cuba mengelakkan risiko yang mungkin berlaku.  Ketika ini teringat Ezani pada pelajaran Komunikasi Berkesan yang pernah diambilnya sewaktu di tahun pertama dahulu.  Salah satu daripada ilmu yang dipelajarinya adalah setiap perbuatan serta lenggok tubuh manusia mampu menyampaikan mesej tertentu.  Begitu juga dengan kedudukan individu semasa duduk dan berdiri.  Sebagai contohnya kedudukan mereka sekarang ini menunjukkan bahawa hubungan antara mereka adalah tidak begitu akrab atau dalam bahasa pasar disebut sebagai biasa-biasa sahaja.  Lagi rapat kedudukan individu tersebut maka lebih akrablah hubungan mereka.  Hal ini kerana, setiap manusia mempunyai ruang privasi mereka sendiri.  Bukan calang-calang orang yang boleh atau dibenarkan masuk ke ruang privasi ini melainkan mereka yang benar-benar rapat dan istimewa sahaja.
“Cik Ezani nak  makan apa?” tanya Fazli sebaik sahaja pelayan tiba di meja mereka.
“Bagi saya mee rebus dan air tembikai,” beritahu Ezani kepada pelayan tadi.  “Encik Fazli makan otak-otak tak?” tanya Ezani pula.
“Otak-otak?  Makan”
“Kalau begitu, bawakan sekali otak-otak ya.  Tiga puluh,” pesan Ezani lagi.  “Encik Fazli pula nak order apa?” Ezani bertanya apabila melihat Encik Fazli masih belum membuat pesanannya.
“Saya pun nak mee rebuslah.  Dan, berikan saya air soya cincau.  Okey itu saja,” pelayan tadi menulis setiap pesanan yang diminta sebelum mengulang sebut pesanan tadi.  Setelah memastikan bahawa pesanan yang dicatat pada nota kecilnya adalah betul, barulah dia berlalu.
Sementara menantikan pesanan mereka siap, mereka berbual-bual mengenai latar belakang serta kerja masing-masing.  Rupa-rupanya Encik Fazli merupakan seorang pegawai Hubungan Industri yang bertugas di Syarikat Mega Bina yang terletak di tingkat 15 Kompleks Tun Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai KOMTAR.  Dan, lebih mengujakan lagi apabila Encik Fazli juga merupakan Graduan Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Malaysia.  Cuma bezanya Encik Fazli tamat belajar dua tahun lebih awal daripada Ezani.  Setelah kenyang dan puas bertukar-tukar cerita mengenai isu dan cabaran dalam bidang sumber manusia, akhirnya Ezani meminta diri untuk pulang.  Sebelum pulang sempat juga mereka bertukar-tukar kad nama.  Masing-masing berharap agar mereka akan dapat bertemu semula selepas ini dan perkenalan ini tidak akan mati begitu sahaja.
Sewaktu Ezani sedang menyelongkar beg tangan untuk mencari kad namanya, matanya tertancap pada skrin telefon bimbitnya yang menyala tatkala tangannya secara tidak sengaja telah tertekan pada keypad telefon bimbitnya.  Buntang mata Ezani apabila melihat ada 45 missed call dan beberapa mesej pesanan ringkas.  Cepat-cepat dia menekan butang OK.  Seperti yang telah dijangkanya, sebahagian besar daripada panggilan itu dibuat oleh Fakrul dan bakinya pula panggilan menggunakan nombor telefon rumah Mak Cik Limah.  Kemudian, Ezani menyemak mesej pesanan ringkas yang diterimanya.  Ada sepuluh semuanya.  Mesej-mesej tersebut semuanya datang daripada Fakrul dan mempunyai ayat yang sama.
Zani, kau kat mana?
            Membaca mesej Fakrul serta melihat bilangan mesej pesanan ringkas dan juga missed call yang bertubi-tubi telah membuatkan hati Ezani diserang risau tiba-tiba.  Mengapa semua orang begitu kalut mencari dirinya?  Ada sesuatukah yang berlaku di rumah Mak Cik Limah?  Ada sedikit rasa sesal yang terpalit di hati Ezani akan tindakannya yang mengenakan silent mode sebaik sahaja dia turun dari kereta tadi.  Jika tahu keadaan akan jadi begini, sudah pasti dia tidak akan membuat begitu.  Akhirnya dengan perasaan yang resah, Ezani melangkah menuju ke kereta untuk memandu pulang.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca. Apa komen anda?